Friday, 26 March 2021

SPM tamat, semua sahabat berkumpul di kubur rakan

Setiap pelajar ada cara tersendiri dalam meraikan ‘kebebasan’ mereka selepas menamatkan alam persekolahan. 


Namun, lain pula cerita sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah di Seri Iskandar, Perak ini apabila mereka sepakat untuk ke tanah perkuburan pada Isnin pagi. 


Menurut Mohamad Zaim Mohd Tajudin, 18, dia bersama rakan-rakan yang lain sudah berjanji untuk menziarahi pusara arwah rakan mereka di Tanah Perkuburan Felcra Nasaruddin, yang meninggal dunia dua tahun lalu. 


“Kertas peperiksaan Subjek Landskap Dan Nurseri berakhir pada 10.30 pagi Isnin. Saya dan rakan-rakan, lebih 20 orang, kami dah berjanji sejak dua minggu lepas. 


“Habis je last paper, kami bersalaman dengan cikgu dan terus pergi untuk menziarahi kubur dan baca surah Yassin,” katanya. 

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, biarpun sudah lama berlalu, dia masih ingat dengan jelas saat menerima berita duka mengenai sahabat yang dikenali sebagai Hadi itu. Malah kata Zaim, dia juga sehingga kini tidak mengetahui dengan jelas punca kematian mengejut rakannya yang sudah lama dikenali itu. 


“Saya pun tak tahu punca. Arwah meninggal pada tahun 2018. Dia ditemui dalam sebuah ladang. Saya pun terkejut dan memang tak sangka. 


“Masa tu saya tengah main futsal. Kemudian perasan dia tak ada. Tak lama kemudian ada orang datang maklumkan yang dia ditemui meninggal dunia. 


“Memang kami semua berhenti main futsal masa tu, menangis sebab terkejut. Biasanya arwah pun selalu main futsal dan akan menjadi penjaga gol,” imbas remaja itu lagi. 

Menurut Zaim yang sudah tiga minggu bekerja sambilan di sebuah kedai cendol, arwah sering diingati kerana sikapnya yang ringan tulang. 


“Dulu masa sekolah rendah saya sama kelas dengan arwah. Sekolah menangah kami belajar di kelas berbeza. 


“Banyak kenangan, tapi saya paling ingat sebab dia rajin tolong orang. Dia banyak tolong kawan-kawan. 


Zaim dan rakan-rakannya menduduki peperiksaan Subjek Landskap Dan Nurseri yang berakhir 10.30 pagi Isnin. 


“Sampai tahap dia pernah tolong cuci motor,” imbasnya. 


Menurut Zaim, idea untuk ke kubur itu sama-sama tercetus hasil perbincangan dengan rakan-rakan yang terdiri daripada pelajar dua kelas berbeza iaitu kelas Landskap dan Seni Reka 


Malah, mereka sempat membersihkan kubur allahyarham dalam kunjungan itu. Jelas Zaim lagi, dia juga tidak memiliki gambar kenangan bersama kerana tidak menyangka rakannya itu akan pergi secepat ini. 


Sumber :Mstar


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon