PUTRAJAYA - Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) tidak dibenar untuk dilaksanakan secara bersemuka di premis sekolah. Perkara ini telah dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu surat siaran bertarikh 23 Mac 2021.
Kementerian itu juga telah melanjutkan tarikh pelaksanaan mesyuarat agung tersebut sehingga sebelum atau pada 30 Jun 2021.
"Berdasarkan penilaian risiko terkini yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan trend penularan jangkitan COVID-19 di seluruh negara yang masih tinggi, KPM memutuskan untuk tidak membenarkan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG secara bersemuka di premis sekolah,
"Perkara ini adalah selaras dengan ketetapan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0," katanya.
Menurut kementerian itu lagi, mesyuarat agung bagi tahun 2021 ini masih boleh dilaksanakan di premis luar sekolah.
Pihak sekolah juga dimaklumkan boleh menangguh pelaksanaan mesyuarat agung PIBG tersebut ke suatu tarikh yang difikirkan sesuai dengan mengambil kira situasi penularan jangkitan COVID-19 setempat.