Berikutan masalah kesesakan ketika waktu pulang dari sekolah, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin telah menjelaskan dalam satu video dan hantaran di Facebook beliau.
Pagi semalam saya ditanya oleh sahabat media berkaitan dengan SOP di sekolah.
Saya jelaskan panjang lebar dan tekankan bahawa KPM telah menyusun SOP yang terbaik sewaktu sesi persekolahan dengan mengikut saranan KKM.
Berdasarkan pengalaman lalu, KPM menyedari bahawa perkara berkaitan dengan penyuraian selepas tamat sesi persekolahan perlukan perhatian khusus. Maka, KPM telah mencadangkan beberapa model penyuraian yang boleh dipertimbangkan oleh pihak sekolah berdasarkan keadaan, kapasiti dan lokasi sekolah.
Kita juga telah memberi saranan kepada pihak sekolah supaya menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat sekiranya sekolah tersebut mempunyai jumlah murid yang ramai.
Ya benar, guru-guru boleh mengawal penyuraian dalam kawasan sekolah. Walau bagaimanapun, untuk memastikan penyuraian di luar pagar sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, kerjasama daripada ibu bapa amatlah kami perlukan.
Bantulah kami untuk pastikan keadaan di luar kawasan sekolah adalah teratur dan SOP dipatuhi sepenuhnya.
Sekurang-kurangnya ibu bapa perlu sama-sama pastikan bahawa penjarakan fizikal di luar pagar sekolah sentiasa dipatuhi.
Pihak sekolah tentunya telah berhubung dengan PIBG dan ibu bapa bagi mencari kaedah yang terbaik.
Sekiranya ada maklumat tentang kesesakan yang tidak terkawal ketika penyuraian, boleh emelkan maklumat tersebut terus kepada saya di radzi.jidin@moe.gov.my.