![]() |
Imej hiasan |
Kuching: Sudah tiba masanya dikaji kemungkinan skim pinjaman buku teks di sekolah digantikan dengan e-buku, kata Penolong Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.
Menurutnya, penggunaan buku teks sudah kurang relevan, sebaliknya dengan e-buku ia akan seiring dengan perkembangan terkini dalam dunia persekolahan seperti mana iltizam besar yang ditunjukkan kerajaan melalui MyDigital.
"Bukan itu saja, malah isu beg sekolah berat dan sarat yang perlu digalas atau dibawa oleh pelajar sudah pasti dapat diselesaikan.
"Melalui konsep e-buku ini, pelajar hanya perlu membawa ke sekolah alat peranti seperti komputer sahaja, tiada lagi keperluan untuk pelajar membawa buku secara fizikal ke sekolah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai pemberian subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, inisiatif itu penambahbaikan bagi subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 yang dilaksanakan kerajaan, bagi penerima BPR seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2021.
Justeru, Mohd Fadzil berkata, pelaksanaan e-buku boleh dibuat menggunakan skim bantuan alat peranti secara bersasar kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan.
"Cadangan ini mungkin dianggap tidak realistik, namun jika subsidi yuran pelajar universiti awam boleh diberikan merentasi taraf hidup tanpa mengira latar belakang kemampuan keluarga dan dicaj pula secara pukul rata yang sebenarnya amat menguntungkan dan memberikan kelebihan pada isi rumah berkemampuan, kenapa bantuan alat peranti tidak boleh diberikan kepada golongan susah?" katanya.