Friday, 19 March 2021

COVID-19: SK Taman Cempaka diarah tutup sementara

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi, di sini, diarah tutup sementara bermula semalam sehingga 25 Mac ini, berikutan wabak COVID-19 dikesan di sekolah berkenaan.


Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata penutupan itu bagi proses sanitasi dan nyah cemar di sekolah berkenaan.


"Benar, hari ini warga sekolah termasuk murid menjalani ujian calitan.


"Sekolah berkenaan juga memenuhi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan untuk langkah pencegahan penularan wabak COVID-19," katanya ketika dihubungi.


Sejak semalam tular di media sosial, memo makluman kepada ibu bapa dan penjaga sekolah berkenaan arahan penutupan sementara sekolah itu berikutan wabak COVID-19.


Dalam memo makluman berkenaan antara lain menyatakan seorang kakitangan sekolah, seorang murid dan tiga guru sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19, setakat kelmarin.


"Sehubungan itu, murid beberapa kelas Tahun Dua, Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam akan menjalani ujian calitan.


"Ibu bapa dan penjaga akan dimaklumkan oleh guru kelas masing-masing tarikh dan masa untuk murid menjalani ujian berkenaan," kata memo berkenaan.


Tinjauan di SK Taman Cempaka pagi ini, mendapati ibu bapa sudah beratur di hadapan sekolah sejak 9 pagi tadi dipercayai bagi menghantar anak masing-masing menjalani ujian calitan.


Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK Taman Cempaka, Mohamad Zin Mohamad Said, ketika dihubungi mengesahkan arahan penutupan sekolah berkenaan mulai semalam sehingga 25 Mac depan berikutan penularan wabak COVID-19 di sekolah itu.


"Semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga sudah melakukan proses sanitasi dan nyah cemar di kawasan sekolah sebanyak dua kali.


"Pihak sekolah juga sudah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak pembukaan sekolah.


"Benar, hari ini ibu bapa murid menghantar anak mereka menjalani ujian calitan di sekolah. Namun untuk makluman lanjut adalah lebih baik diajukan kepada JKNJ serta pihak berkuasa," katanya.


Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon