PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan mengapa sebuah sekolah di Pulau Pinang dengan kluster Covid-19 aktif masih dibuka, walaupun ada yang ditutup selepas hanya satu kes dilaporkan.
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, SJK (C) Keng Koon melaporkan 16 kes, membabitkan 15 pelajar dan seorang guru.
Kasthuri berkata, walaupun begitu Jabatan Pendidikan Seberang Perai Selatan berkata sekolah tidak perlu ditutup.
Beliau turut menyebut beberapa sekolah lain yang diminta untuk ditutup kerana melaporkan kes Covid-19 sebelumnya, termasuk Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di Kuala Terengganu dan Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah di Melaka.
“Saya setuju dengan pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang yang meminta Kementerian Pendidikan mempertimbangkan penutupan sekolah dengan kes Covid-19 yang aktif.”
Katanya, ada keperluan untuk kedua-dua Kementerian Kesihatan dan Pendidikan untuk konsisten dalam memberikan arahan membabitkan penutupan sekolah, dengan garis panduan yang jelas.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, mereka tidak akan tergesa-gesa mengarahkan penutupan sekolah kerana analisis risiko yang tepat dan penilaian mesti dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, sama ada penutupan penuh atau sebahagian, ia akan dilaksanakan hanya atas nasihat pejabat kesihatan daerah.
“Dalam konteks ini, jika Jabatan Kesihatan setempat memutuskan bahawa kelas tertentu perlu ditutup, maka kita akan menutup kelas tersebut.
“Begitu juga, sekiranya mereka berkata aras bangunan tertentu perlu ditutup, maka kami akan melakukannya,” Bernama melaporkannya sebagai berkata.
Penting bagi semua pihak untuk memahami bahawa kementerian bekerjasama dengan pasukan profesional bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar, katanya.