Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk menjelaskan pengumuman mengejut mereka untuk membuka semula sesi persekolahan dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum benar-benar surut.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) berkata, ibu bapa dan guru tertanya-tanya alasan utama kerajaan sehingga membenarkan pelajar kembali ke sekolah ketika terdapat negeri dan kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.
Menurut PH, pembukaan semula sekolah di seluruh negara perlu mengambil kira status negeri yang tidak sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“PH mencadangkan agar KPM memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan kerana setiap lokasi yang berbeza memiliki kes dan keadaan yang berbeza.
“KPM tidak boleh membuat keputusan ‘pukul rata’ ketika pandemik sedang melanda negara. Pada masa sama, sekolah juga haruslah memberi ruang kepada guru untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak.
“Semua tugas pentadbiran, pembinaan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama antara bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam; bekas Timbalannya, Teo Nie Ching (Kulai); Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); dan Datuk Dr Hassan Bahrom (Tampin).
Mengulas lanjut, PH berkata, guru-guru dan kakitangan sekolah perlu menjadi keutamaan sebagai golongan pertama dalam program vaksin kerana mereka juga adalah barisan hadapan yang berjuang untuk mendidik anak bangsa.
Jelas mereka lagi, kerajaan wajib mempunyai pelan-pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar, guru malah semua pihak yang terkesan dapat mengusahakan langkah-langkah persediaan yang rapi.