Wednesday, 27 January 2021

PdPR: Guru, PIBG ganding tenaga sumbang peranti untuk murid

Guru Besar SK Che Deris, Mohammad Fadzil (kanan)
menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada muridnya,
Fatin Nur Aimi Shahira (dua dari kiri) ditemani abangnya,
Muhammad Alif Irfan (dua dari kanan) yang tidak dapat
mengikuti PdPR di rumah di Kampung Tanjung Baru.
- Foto NSTP/Abdullah Nik Omar


KOTA BHARU: Memahami kesukaran dihadapi murid dari keluarga kurang berkemampuan mendorong guru sebuah sekolah, di sini, berusaha menyediakan sekurang-kurangnya satu telefon pintar bagi membolehkan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris, Mohammad Fadzil Mat Il, berkata dianggarkan kira-kira 30 peratus murid di sekolahnya, terutama yang menetap di perkampungan nelayan tidak mampu memiliki telefon pintar kerana kurang berkemampuan.


Beliau berkata, setakat ini pihak sekolah sudah mengesan dan memperoleh maklumat murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak memiliki telefon pintar untuk PdPR.


"Kami tidak mahu murid-murid ini tercicir atau ketinggalan mengikuti pembelajaran secara dalam talian disebabkan tidak mempunyai telefon pintar atau peranti yang bersesuaian untuk PdPR.


"Kaedah PdPR yang diaktifkan semula bagi sesi persekolahan pada minggu lalu dilihat sebagai kaedah terbaik ketika ini bagi mengekang peningkatan kes COVID-19, namun sebagai guru, kami tidak boleh berpeluk tubuh sebaliknya perlu berusaha membantu mereka supaya tidak tercicir dalam pelajaran.


"Saya bersama guru dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan juga individu persendirian dalam proses mengumpul dana bagi membantu murid kurang berkemampuan memperoleh peranti dalam pembelajaran norma baharu," katanya selepas menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada seorang daripada muridnya di Kampung Tanjung Baru, di sini.


Mohammad Fadzil berkata, pihaknya berharap masalah murid di sekolah itu yang tidak memiliki telefon pintar untuk mengikuti PdPR dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.


Sementara itu, Rosnani Ibrahim, 43, berkata dia berterima kasih kepada pihak sekolah yang memberi satu telefon pintar untuk kegunaan dua anaknya berusia lapan dan sembilan tahun mengikuti PdPR.


"Dengan sumbangan telefon pintar ini, sekurang-kurangnya dapat melancarkan pembelajaran anak dan membolehkan mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru masing-masing.


"Sebelum ini dua anak saya iaitu Fatin Nur Aimi Shahira Yaso', 8, dan Muhammad Alif Irfan, 9, tidak dapat mengikuti PdPR seperti rakan lain kerana saya hanya menggunakan telefon biasa.


"Suami, Yaso' Ghani, 47, yang sebelum ini menjual ikan terpaksa berhenti kerja sejak lebih setahun lalu disebabkan masalah kesihatan dan kini perlu mengalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai tukang sapu di sebuah asrama sekolah dengan pendapatan RM1,040 sebulan," katanya.


Katanya, pendapatan yang diperoleh hanya untuk cukup menampung belanja makan mereka sekeluarga, selain perlu berjimat cermat.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon