![]() |
Imej hiasa via Ismaweb |
25 Januari: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini mendedahkan punca jangkitan COVID-19 oleh 11 orang guru di Terengganu melalui satu kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook rasminya.
"NUTP melahirkan kekecewaan akan kebimbangan atas berita yang diterima mengenai 11 orang guru di Terengganu yang disahkan positif COVID-19.
"Guru-guru berkenaan telah diarahkan untuk menghadiri Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu secara bersemuka semasa negara dilanda pandemik COVID-19," katanya.
Menurutnya lagi, keghairahan pihak PPD tersebut yang mengumpulkan guru-guru tersebut untuk mengikuti bengkel ini telah mengundang risiko jangkitan virus tersebut.
"Persoalannya, adakah pihak mereka (PPD) tidak peka dengan keadaan semasa dan adakah guru-guru tersebut telah diberikan Personal Protection Equipment (PPE) seperti pelitup muka, baju 'overcoat' atau mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan?" soalnya lagi.
Pihak NUTP turut menyeru agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengkaji semula aspek keselamatan guru-guru yang kini mengajar calon-calon peperiksaan awam serta memantau sekolah-sekolah yang memaksa guru-guru mereka bekerja lebih daripada masa yang sepatutnya.