ALOR SETAR: Seorang guru di Sekolah Menengah (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena di sini sanggup berkorban masa dan tenaga dengan mengunjungi rumah murid walaupun di hujung kampung sekali pun, demi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Bagi Dr Abd Ghani Jalil, 46, proses pengajaran dan pembelajaran tidak seharusnya terbatas hanya di sekolah, justeru dia secara sukarela sanggup mengajar di rumah murid yang kebanyakan adalah terdiri daripada keluarga miskin dan berada dalam kelas pemulihan.
"Saya mula mengajar hingga ke rumah mereka sejak awal tahun ini sama ada secara kelompok atau individu.
"Saya lakukan secara sukarela kerana mahu melihat mereka dapat membaca serta menulis dengan baik demi masa depan walaupun terpaksa masuk hutan dengan jalan yang tidak sempurna," katanya di sini.
![]() |
Dr Abd Ghani Jalil, 46, sanggup berkorban masa dan tenaga pergi ke rumah murid untuk mengajar membaca dan menulis sejak awal tahun ini. - FOTO/Ihsan Dr Abd Ghani Jalil |
Bercerita lanjut Abd Jalil berkata, dia mengambil inisiatif dengan membuat modul sendiri bagi memudahkan murid membaca dan menulis.
Katanya, seramai 26 murid terbabit kurang motivasi diri dan segelintir daripadanya sering ponteng sekolah.
"Saya dekatkan diri dengan mereka secara perseorangan supaya mereka tidak merasa tersisih, rata-rata dapat memberi perhatian dan terharu dengan apa yang saya lakukan.
"Selain mendidik mereka supaya boleh membaca dan menulis, saya mahukan mereka berjaya dalam bahasa Melayu kerana subjek itu nadi kejayaan terutama dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)," katanya dari Pahang.
![]() |
Dr Abd Ghani Jalil, di rumah seorang muridnya. - FOTO/Ihsan Dr Abd Ghani Jalil |
Katanya, pada waktu persekolahan dia akan mengajar murid terbabit pada waktu petang dan pada hari cuti pula akan mengajar pada pagi, tengah hari dan petang.
"Walaupun penat mengajar pada waktu pagi tetapi kejayaan murid dapat berjaya membaca dan menulis menjadi hadiah kepada saya.
"Kini saya dapat rasakan minat mereka dalam pelajaran semakin tinggi berbanding sebelum ini, melihat kesungguhan mereka saya sanggup membeli meja dan kerusi supaya mereka lebih selesa untuk belajar," katanya.
Sumber: Berita Harian