Monday, 2 November 2020

Jenazah Siti Nur Surya selamat dikebumikan dalam suasana sayu

KUALA TERENGGANU: Semalam beliau hanya mampu melihat mayat anaknya terbujur kaku selepas dibunuh dengan kejam di depan mata di ruang tamu rumah.


Hari ini pula beliau hanya mampu melihat jenazah anaknya diusung keluar dari ruang tamu rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan.


Dua peristiwa menyayat hati itu dilalui Zaini Musa, 55, dari atas katil berikutan tidak mampu bergerak akibat kanser otak tahap tiga yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.


Penyakit dihidapi wanita itu, menyebabkan beliau tidak mampu bercakap seperti biasa dan tidak faham dengan apa yang berlaku.


Sebaik jenazah diusung keluar dari ruang tamu rumah kira-kira jam 6.30 petang, suami wanita itu, Ismail Muda, 58, memberitahu apa yang berlaku sambil membantu memalingkan muka wanita itu ke arah keranda yang menempatkan jenazah anaknya, namun dia hanya sekadar melihat tanpa sebarang reaksi.


Suasana menyayat hati itu menyebabkan Ismail dan beberapa anaknya serta mereka yang berada di ruang tamu tidak dapat menahan rasa sedih dan pilu dengan keadaan itu.


Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiba di rumah keluarganya di Kampung Beladau Selat kira-kira jam 6.30 petang sebelum dibawa ke masjid kampung itu untuk disembahyangkan selepas Solat Maghrib.


Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang turut dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, Siti Nur Surya ditemui mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kesan kecederaan lain pada bahagian muka dan badan.


Polis pagi ini menahan wanita yang juga rakan sekolah mangsa berusia 19 tahun bagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Sementara itu, Ismail ketika ditemui berkata beliau berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon