Friday, 27 November 2020

3 murid, seorang patah kaki jatuh jambatan untuk ikuti kelas dalam talian

KEADAAN jambatan gantung yang runtuh
di Kampung Gusi sehingga mengakibatkan
tiga murid SMK Ulu Sugut cedera.
Imej via - NSTP/Ihsan Pembaca

RANAU: Tiga murid yang sedang mencari akses internet untuk mengikuti kelas dalam talian, terjatuh dari jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi, Isnin lalu.


Kejadian dipercayai kira-kira jam 9 malam membabitkan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut, di sini.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan, seorang murid patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.


"Mereka cuba mengakses internet di bahagian tertentu di jambatan gantung berkenaan," katanya.


Beliau juga memaklumkan akan segera ke kampung berkenaan untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki jambatan terbabit.


"Kita berharap penduduk kampung berkaitan dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini" katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.


Terdahulu, tular di Facebook mengenai murid SMK Ulu Sugut terjatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung dilalui mereka, runtuh secara tiba-tiba.


Difahamkan, kawasan sekitar jambatan gantung dengan ketinggian kira-kira 18 meter dari aras sungai itu satu-satunya lokasi yang mempunyai capaian internet.


Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya murid berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan jaringan internet.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunut, berkata dia dimaklumkan kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, sekitar jam 9 malam.


"Penduduk kampung menyatakan semua murid itu berada di tengah-tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan itu tiba-tiba runtuh.


"Capaian internet di Kampung Gusi ini memang teruk, tetapi lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung terbabit," katanya.


Sumber: Berita Harian


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon