Friday, 23 October 2020

Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah



MELAKA: Ibu bapa di negeri ini yang menjalani saringan Covid-19 dibenarkan tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dalam tempoh 14 hari atau sehingga keputusan ujian diketahui.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri, semalam.


Beliau berkata, ia juga susulan pengesanan satu kluster baharu di Mukim Bukit Baru yang melibatkan 11 kes pesakit bawah siasatan (PUI) seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan.


“Semua kontak-kontak (kepada kes tersebut) dikuarantin sehingga 14 hari seperti prosedur operasi standard (SOP) sedia ada ditetapkan kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Justeru, bagi ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah, semua senarai anak diserahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk kebenaran tidak hadir sekolah selama 14 hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Semalam, Melaka merekodkan 13 zon kuning apabila mencatatkan 16 kes positif Covid-19 melibatkan kawasan Bukit Katil, Ayer Molek, Tanjung Minyak, Tanjung Kling dan Durian Tunggal.


Kawasan lain yang mencatatkan kes positif termasuk Rembia, Chohong, Batu Berendam, Duyong, Kesang, Ayer Panas, Machap dan Bukit Piatu.


Menurut Rahmad, selain 11 kes Kluster Bukit, tiga kes lagi adalah membabitkan saringan di Depot Tahanan Imigresen, satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes saringan individu bergejala.


Beliau turut meminta peniaga bersama-sama mengawal penularan pandemik itu dengan meminta mereka memerhatikan pelanggan yang berkemungkinan memakai gelang ‘pink’.


“Sekiranya berkemungkinan ada pelanggan yang memakai gelang tersebut cuba memasuki premis, peniaga boleh menghalang tindakan pelanggan dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” katanya.


Terdahulu, tiga buah sekolah di negeri ini diarahkan tutup ekoran terdapat kes positif membabitkan pelajar dan waris pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang di Alor Gajah serta SMK Simpang Bekoh di Jasin. – UTUSAN ONLINE


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon