PUTRAJAYA – KKM belum bercadang untuk mengesyorkan penutupan sekolah di seluruh negara meskipun kes positif pandemik koronavirus (Covid-19) menunjukkan peningkatan ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, bagaimanapun menyeru, semua pihak termasuk guru dan pelajar perlu mematuhi semua (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kalau sekolah tersebut ada jangkitan contohnya kita lihat dulu, sebelum ini di Kluster Tawar ada seorang guru terlibat positif dan guru itu telah kembali ke sekolah dan ada jangkitan berlaku barulah disyorkan tutup sekolah.
“Tetapi setakat ini (KKM) tidak disyor penutupan sekolah, aktiviti tetap boleh berjalan tetapi kena berhati-hati dan patuh SOP,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM bercadang mengesyorkan penutupan sekolah di seluruh negara berikutan peningkatan kes Covid-19.
– Sinar Harian