Wednesday, 30 September 2020

Warden Sekolah: Tugas berat, elaun tidak setimpal - NUTP

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan tugas warden sekolah terlalu berat untuk dipikul seorang guru yang pada masa sama perlu menjalankan tugas hakiki.


Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata pihaknya mendapati tugas sebagai warden sangat padat dari pagi hingga malam bagi memastikan keadaan murid terkawal dan berdisplin di asrama.


Beliau berkata, elaun warden sekolah sebanyak RM240 yang diterima bukan boleh dianggap istimewa kerana tidak setimpal bebanan tugas membabitkan mereka bergred DG44 selain Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) berjumlah RM400 dan elaun cola pada kadar RM300, masing-masing dipotong separuh.


"Warden sekolah adalah orang yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal berkaitan murid yang tinggal di asrama. Tidak kira masalah disiplin atau perihal kesihatan, warden orang pertama perlu bertindak. Ibarat seorang bapa kepada seluruh penghuni asrama.


"Tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran. Tugasan yang diarahkan kepada mereka tanpa mengira masa sehingga keluarga sendiri pun terabai. Warden mudah terdedah dengan pelbagai risiko antaranya kemungkinan risiko disamakan oleh ibu bapa


"Warden perlu memastikan murid berada dalam keadaan teratur dan berdisplin ketika di asrama serta memastikan tiada berlakunya masalah buli dalam kalangan murid, membuat huru-hara, bergaduh, menghisap rokok dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Huat Hock berkata, tugas sebagai warden asrama bermula sebelum Subuh lagi apabila mereka dikehendaki memantau murid supaya mengambil sarapan.


Selain itu, beliau berkata warden asrama juga perlu memeriksa tahap kesihatan serta memastikan murid hadir ke kelas masing-masing.


Katanya, tugas sebagai warden sekolah melebihi 18 jam sehari berbeza dengan guru biasa yang bekerja dari jam 7 pagi hingga 4 petang.


"Pada waktu tengah hari pula, warden perlu memastikan murid makan tengah hari di dewan makan atau tempat rehat yang disediakan kepada murid. Warden juga perlu memastikan murid tidak naik ke bilik asrama agar mereka tidak ponteng kelas.


"Di sebelah malam, warden akan membuat laporan bilangan murid bagi setiap bilik asrama serta memaklumkan kesihatan murid. Pada lewat malam, warden perlu memastikan murid tidur tepat pada masanya supaya mereka mendapat rehat secukupnya supaya kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC ) keesokkan harinya dapat berjalan dengan lancar.


"Tiada tetapan masa ditetapkan bagi warden melaksanakan tugasnya. Sekiranya murid sakit pada lewat malam atau awal pagi, warden dipertanggungjawabkan membawa pelajar ke klinik atau hospital," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon