KLUANG: Sesi pembelajaran dan pengajaran di sebuah sekolah menengah dekat sini disingkatkan selepas lima murid mengalami histeria pada jam 10 pagi tadi.
Menurut sumber, kejadian bermula selepas seorang murid perempuan Tingkatan Enam Bawah berkelakuan aneh dan mendiamkan diri ketika kelas sedang berjalan.
"Mulanya seorang murid meminta seorang guru lelaki yang sedang mengajar Bahasa Melayu melihat rakannya yang berkelakuan pelik kerana menundukkan muka ke meja.
"Guru terbabit kemudian mengarahkan murid bertenang dan membaca ayat suci al- Quran menyebabkan murid perempuan tadi mula menjerit dengan kuat.
"Akibat jeritan itu, dua pelajar murid lain di dalam kelas sama serta dua murid kelas berasingan menangis dan menjerit," katanya kepada akhbar BH, hari ini.
Menurut sumber itu lagi, akibat kejadian itu, kelas yang menempatkan murid Tingkatan Enam di tingkat empat dikosongkan dan sesi persekolahan ditamatkan pada jam 1.20 petang.
Difahamkan, kejadian histeria di sekolah berkenaan bukan pertama kali terjadi dan ia dikaitkan dengan kehadiran makhluk halus.