![]() |
Imej via Jakarta Post |
BANYUWANGI: Lebih 600 pelajar sebuah sekolah tahfiz di Indonesia disahkan positif COVID-19 ketika sekolah di seluruh republik itu mula kembali dibuka.
Sekolah berasrama penuh Darussalam Blokagung di wilayah Banyuwangi, Jawa Timur itu turut meletakkan kira-kira 6,000 pelajarnya di bawah kuarantin selepas sekurang-kurangnya 664 pelajar disahkan positif.
Kebanyakan kes hanya menunjukkan simptom ringan, namun pihak polis dan tentera bertindak menyekat laluan ke sekolah berkenaan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Benget Saragih, berkata semua kegiatan di sekolah berkenaan mesti dihentikan segera termasuk sembahyang berjemaah dan semua pelajar berada di bilik masing-masing.
Menurut pihak sekolah, ujian besar-besaran mula dilakukan sejak pertengahan Ogos lalu selepas beberapa pelajar mengadu tidak sihat.
Ini adalah jangkitan kedua terbesar selepas kira-kira 1,300 orang di sebuah akademi tentera Indonesia disahkan positif COVID-19 Julai lalu.
Negara dengan lebih 270 juta penduduk itu kini semakin kerap menyaksikan kemunculan jangkitan berikutan pembukaan semula sekolah selepas ditutup berbulan lamanya.
Indonesia setakat ini mencatatkan 180,646 kes jangkitan COVID-19 termasuk 7,616 kematian dengan lebih 3,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam. - AFP