BINTULU: Satu blok dua tingkat asrama lelaki Sekolah Kebangsaan Sebauh dekat sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku jam 7 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu yang diketuai Komander Operasinya, Christus Buson bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.07 pagi.
"Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba terus memulakan usaha memadam kebakaran yang berlaku yang mana sumber air diperoleh dari pili bomba berdekatan," ujarnya.
Difahamkan ketika ini pasukan bomba sedang giat memadam serta mengawal kebakaran bagi mengelak ia merebak ke blok asrama serta bangunan sekolah berdekatan.
"Maklumat awal yang diterima mengesahkan tiada pelajar yang mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semasa kejadian, kebanyakan pelajar sudah berada dalam kelas," ujarnya.
Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.