Wednesday, 12 August 2020

CUEPACS mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap Mohd Asri

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, susulan dakwaannya polis dan tentera tidak menjaga solat.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata dakwaan Mohd Asri itu bukan saja menghina pasukan keselamatan, malah seluruh penjawat awam.


Katanya, walaupun Mohd Asri sudah memohon maaf melalui media sosial, pihaknya menganggap ia tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.


"Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas supaya memberi pengajaran pada masa akan datang termasuk sesiapa saja yang membuat penghinaan seperti itu.


"Pasukan keselamatan dan penjawat awam sentiasa berpegang kepada cogankata Berkhidmat Untuk Negara. Kami sentiasa mencurahkan dan khidmat bakti mendahulukan kepentingan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap Mohd Asri selepas menerima dua laporan berhubung kenyataannya yang dianggap menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Semalam, tular satu klip video memaparkan kenyataan Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa petugas dua pasukan keselamatan itu tidak menunaikan solat serta merokok


Sementara itu, Adnan berkata, penjawat awam di negara ini khasnya PDRM dan ATM mempunyai Kor Agama sendiri bagi tujuan pemantapan rohaniah anggota.


Beliau berkata, ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19, pasukan polis dan tentera turut bertindak sebagai barisan hadapan membantu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya COVID-19 dapat dikawal.


"Alhamdulillah, hasil pengorbanan pelbagai agensi kerajaan seperti doktor, jururawat, polis, tentera, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak berkuasa tempatan dan lain-lain lagi, kini Malaysia antara negara terbaik di dunia mengawal COVID-19.


"CUEPACS mewakili keseluruhan penjawat awam, ingin menyatakan rasa amat terkilan dengan penghinaan ini dan berharap perkara itu tidak diulangi lagi.


"Kenyataan ini bukan saja boleh menjejaskan nama baik perkhidmatan awam, polis dan tentera tetapi menjatuhkan martabat agama Islam itu sendiri," katanya.


Pada masa sama, Adnan berkata, CUEPACS menghargai tindakan Mohd Asri mendedahkan isu kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis judi, peniaga asing dan penjualan rokok seludup sebelum ini.


Namun, beliau berpendapat, Mohd Asri sewajarnya menyalurkan maklumat itu kepada saluran yang betul berikutan pendedahan itu dipercayai boleh mengancam nyawanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon