Sunday, 5 July 2020

Hadiah bantal, cadar pengikat kasih sayang, ukhuwah antara guru - Guru Besar

Cenderamata bantal dan cadar pengikat kasih sayang dan ukhuwah mewarnai sambutan Hari Guru di SK Limau Purut, Lipis.

LIPIS 4 Julai - Perasaan dan semangat guru walaupun di mana mereka berada tetap berkobar untuk menyambut Hari Guru yang menjadi acara tradisi pada tarikh keramat 16 Mei setiap tahun.

Tahun ini, kebanyakan peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah meraikan sambutan tersebut cuma sederhana pada tarikh yang dipilih masing-masing, tetapi tetap meriah apabila insan yang bergelar guru sahaja dapat 'menjiwai' profesion itu antara yang tertua di dunia ini.

Sambutan secara sederhana tahun ini kerana tarikh 16 Mei masih berada dalam tempoh pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 dan seperti mana aktiviti sosial lain, sambutan berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jarak sosial, pemakaian mask dan amalan etika kebersihan.

Bagi seramai 12 orang guru Sekolah Kebangsaan (S) Limau Purut, Lipis tempoh kelonggaran menerusi PKP Pemulihan ini membolehkan mereka mengambil kesempatan mengadakan sambutan berkenaan di sekolah tersebut semalam.



Walaupun tanpa murid sebagai tetamu utama yang kelazimannya memberikan pelbagai hadiah hatta mahupun sekuntum bunga, tetapi sambutan itu cukup bermakna sekalipun nampak perasaan terharu dalam kalangan guru berkenaan.

Guru Besar SK Limau Purut, Abd Manaf Mat berkata, setelah kerajaan memberi kelonggaran dan kebetulan guru kembali bertugas semula memberikan ruang dan peluang bagi jawatankuasa sambutan hari guru peringkat sekolah menyusun tentatif yang bersesuaian.

"Hanya ucapan yang bertemakan 'Berguru demi ilmu, Bina generasi baharu' saya sampaikan untuk memberikan semangat kepada guru di sini khususnya tugas serta tanggungjawab yang ikhlas untuk membina generasi berakhlak dan berimu pada masa akan datang.

"Sebagai tanda kasih dan menghormati rakan serta 'langkah sederap' menjiwai profesion ini, kita berpeluang bertukar hadiah yang agak unik antara guru dan kakitangan di sini, iaitu bantal, cadar dan beberapa cenderamata lain," katanya di sekolah tersebut semalam.
Menurut Abd Manaf, program yang singkat itu memenuhi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), jarak sosial, pemakaian pelitup muka dan amalan etika kebersihan berasaskan norma baharu

Sementara itu, Guru Matematik, Mohd Faizal Mohd Tamin Al Shaujai berkata, dia gembira kerana sambutan berkenaan kerana cukup signifikan untuk menghargai profesion yang mulia serta mengingati pengorbanan guru.

"Ketika kita masih dalam tempoh PKPP, sambutan secara sederhana ini juga dapat menghargai peranan guru yang kini antara 'frontliners' yang bertanggungjawab menitip pengajaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan kepada murid setelah hampir empat bulan dibelenggu ancaman wabak COVID-19.

"Saya dan rakan lebih seronok kerana dapat kembali bertugas semula di sekolah ini dan lebih lagi amat merindui dan tidak sabar untuk bersua dengan murid setelah kerajaan mengumumkan kelas mula beroperasi pada 15 Julai dan 22 Julai ini," ujarnya.

OLEH:Haris Fadilah Ahmad
#PahangStory

Kredit: FB PahangStory

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon