![]() |
Imej via Bernama |
Seperti diumumkan sebelum ini, kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun pula berkuat kuasa 1 Januari 2018.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata kerajaan juga belum melaksanakan gaji tambahan kepada guru gred DG56, malah dalam pembentangan belanjawan 2020, kerajaan turut mengumumkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.
"Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan untuk melaksanakan kajian semula terhadap mana-mana perancangan termasuk GCR tidak boleh diterima penjawat awam.
"Sebelum sesuatu itu diumumkan, perbincangan awal dan implikasinya sudah dikaji, jadi secara umumnya ia sudah dipersetujui dan dinyatakan kerajaan mampu melaksanakan pada waktu ia diumumkan.
"Kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam, jadi seharusnya sebarang pengumuman perlulah dilaksanakan, bukannya dianggap sebagai satu keputusan politik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci Malaysia, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Pada majlis itu juga, penjawat awam diberi penerangan kaedah menggunakan bancian secara dalam talian e-Census bagi melengkapkan data bancian penduduk pada tahun 2020.
Adnan berkata, selain itu Kadar Bantuan Sara Hidup Penjawat Awam (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga berada dalam senarai keutamaan CUEPACS untuk diberi perhatian serius kerajaan.
Ini kerana, beliau berkata, COLA dilihat hanya memberi manfaat kepada penjawat awam Semenanjung, sedangkan tiada kenaikan bagi penjawat awam di Sabah dan Sarawak.
"Jadi CUEPACS bersetuju untuk memanjangkan kepada kerajaan untuk tambahan RM50 kepada gred 41 ke atas dan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak juga.
"Perkara yang dibentangkan ini sudah berada pada peringkat kaedah pelaksanaan dan kajian juga sudah dilakukan, diharap kerajaan melihat perkara ini dengan lebih serius. Jika bukan semua, kerajaan tidak perlu meninggalkan semuanya," katanya.