Wednesday, 24 June 2020

Polis pantau pematuhan SOP di sekolah

Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seramai 22 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, yang juga pegawai perhubungan di 11 sekolah menengah, digembleng bagi memastikan pematuhan tatacara operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Putrajaya, Mohd Fadzil Ali berkata seorang pegawai berpangkat inspektor dan seorang anggota berpangkat sarjan akan berada di setiap premis sepanjang waktu sesi persekolahan dari 7.30 pagi hingga 2 petang pada setiap Isnin sepanjang PKPP itu.

Sebelum ini mereka hanya melawat sekolah 2 kali sebulan bagi tujuan memantau keselamatan dan jenayah di sekolah, katanya.

“Mereka berperanan memantau pematuhan SOP dan menasihati warga sekolah untuk penambahbaikan di mana-mana bahagian yang dirasakan perlu,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) hari ini.

Buat masa ini tiada laporan diterima tentang pelanggaran SOP di sekolah dan beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dilihatnya ketika melakukan lawatan.

Sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara, dimulakan semula hari ini.

Dalam tinjauan di SMK Putrajaya Presint 8(1) itu, guru mengambil suhu pelajar ketika mereka dalam kereta di kawasan foyer sekolah bagi memastikan hanya yang sihat dibenarkan masuk ke kelas manakala yang bergejala, ibu bapa dan penjaga akan diminta membawa anak mereka balik.

Bagi pelajar yang menaiki bas, mereka akan berjalan kaki kira-kira 50 meter dari tempat turun bas untuk ke foyer bagi diambil suhu. Sekiranya suhu melebihi 37.5, mereka akan diminta berehat di satu kawasan untuk diambil bacaan kali kedua dan jika masih tinggi, mereka akan dimasukkan ke bilik isolasi sehingga ibu bapa dan penjaga mengambil mereka pulang.

Pelajar juga diminta untuk mencuci tangan sebelum masuk ke kelas masing-masing dan memulakan sesi pembelajaran.

SMK Putrajaya Presint 8(1) mempunyai 163 pelajar Tingkatan 5 yang belajar di 12 kelas berbanding 7 kelas sebelum ini.

Sumber: Free Malaysia Today

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon