Wednesday, 24 June 2020

Guru kecewa dengan pindaan takwim cuti persekolahan

24 Jun - Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu surat siaran bilangan 6 berkaitan Pindaan Takwim Persekolahan 2020 yang baharu.

Pindaan tersebut memberi satu kejutan kepada semua guru di seluruh tanahair apabila mereka memegang kepada ucapan YB Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi dalam satu ucapan beliau pada 15 Mac yang lalu bahawa cuti sekolah akhir tahun tidak akan dipendekkan.

Lantaran itu, apabila KPM mengeluarkan takwim pindaan yang baharu, rata-rata guru meluahkan rasa tidak puas hati apatah lagi keberadaan mereka di rumah untuk mengajar secara dalam talian, menghasilkan pelbagai modul, mengadakan sidang langsung bersama murid seolah-olah tidak dihargai oleh pihak kementerian.

Ruangan komen Facebook KPM turut menjadi ruang untuk luahan guru-guru yang merasakan pengorbanan mereka seolah-olah disia-siakan.


Cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

"Oleh itu, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah," kata KPM.

Menurut KPM, bilangan hari pembelajaran di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah sebanyak 56 hari bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A, manakala kumpulan B sebanyak 55 hari.


"Bilangan hari pembelajaran di rumah ini hanya terpakai kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam sahaja sementara bagi pelajar lain bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak," katanya.


KPM berkata Takwim Penggal Persekolahan 2020 yang telah dipinda boleh diperoleh melalui laman sesawang https://www.moe.gov.my/takwim/takwimpersekolahan-pindaan-2020.

KPM sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok (24 Jun) melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon