Wednesday, 20 May 2020

Pelajar sedia dihantar pulang ke Sabah positif COVID-19

Gambar hiasan
ALOR SETAR: Status Kedah sebagai negeri Zon Hijau jangkitan COVID-19, bocor selepas 28 hari, apabila seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dikesan mangsa terbaharu positif kes itu, hari ini.
Pelajar terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 yang dikendalikan di kampus itu semalam, sebagai persediaan dihantar pulang ke negeri asalnya di Sabah tetapi positif.

Berikutan itu, pelajar terbabit dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) malam tadi, dan ditempatkan di pusat kuarantin ketika ini.

Ketika ini, Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu sedang melakukan siasatan termasuk mengesan kontak rapat pelajar terbabit yang kini dikuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataannya hari ini, mengesahkan satu kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Mukim Temin, Kubang Pasu.

Kedah sebelum ini tidak melaporkan sebarang kes baharu COVID-19 selamat 28 hari dan diisytihar sebagai negeri zon hijau oleh Kementerian Kesihatan.

Setakat ini, Kedah mencatatkan 96 kes positif COVID-19 dengan satu kes kematian dan 94 kes sembuh.

Pihak universiti yang dihubungi memaklumkan tidak dapat memberikan sebarang maklumat kerana hanya pihak kementerian dibenarkan dapat mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang baharu mengangkat sumpah EXCO pagi tadi, memaklumkan belum menerima maklumat dari JKN Kedah.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon