![]() |
Seorang kanak-kanak lelaki bersama keluarganya membeli pakaian di premis berkenaan |
Tinjauan Sinar Harian di pusat membeli-belah terkenal di ibu negara di sini hari ini mendapati ibu bapa berbuat demikian bagi tujuan membeli pakaian dan keperluan menyambut Aidilfitri minggu depan.
Bagaimana pun, jumlah kanak-kanak terbabit jauh lebih rendah berbanding pengunjung lain yang majoritinya golongan dewasa walaupun ketika bersesak di ruang jualan pakaian kanak-kanak.
Dalam pada itu di pintu masuk pusat membeli-belah tersebut, hanya satu pintu dibuka dan dikawal anggota polis bantuan bagi memastikan pengunjung mematuhi penjarakan sosial.
![]() |
Majoriti ibu bapa memilih sendiri pakaian untuk anak tanpa perlu membawa mereka ke pusat beli-belah. |
Tiada larangan atau halangan kepada ibu bapa yang membawa anak berusia bawah 12 tahun memasuki premis berkenaan kerana arahan terbabit belum dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Namun demikian, anggota polis bantuan yang bertugas mengambil inisiatif menasihati ibu bapa agar mengutamakan aspek keselamatan dengan mengamalkan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 sepanjang berada di dalam premis berkenaan.
Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mazlan berkata, beliau dan isteri terpaksa membawa bersama seorang anak mereka berusia 10 tahun untuk membeli baju raya.
![]() |
Seorang kanak-kanak perempuan yang dilihat berada di ruang pakaian pusat membeli-belah itu. |
“Saya pula tidak berapa pandai nak pilih baju raya untuk anak, jadi kena bawa isteri dan anak terpaksa ikut sekali.
“Lagi pun kami semua pakai pelitup muka dan hanya datang beli baju raya sahaja, sudah beli terus balik rumah,” katanya.