26 September - Terdapat dakwaan yang mengatakan data kehadiran Sistem Sistem Pelaporan PdPR (SPdPR) tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku. Perkara tersebut diakui oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
"Nampaknya ramai yang kata data kehadiran SPdPR tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku. Saya sendiri tidak boleh mengesahkan adakah semua data SPDPR tepat atau tidak?" katanya.
Menurut beliau, hanya guru-guru sahaja yang mengetahui sebab mereka yang mengisi data kehadiran SPdPR murid-murid setiap hari.
"Saya sangat mengharapkan data kehadiran SPDPR adalah tepat dan boleh dipercayai. Jika tidak, kita akan ada masalah besar untuk menggunakan data-data ini di dalam merangka program intervensi seperti yang diarahkan oleh Menteri Kanan KPM apabila sekolah dibuka nanti,"jelasnya.
Data kehadiran SPdPR yang telus sepatutnya memberikan gambaran sebenar siapakah murid-murid yang tercicir sejak PdPR dilaksanakan. Menurut beliau lagi, antara maklumat-maklumat yang sepatutnya diperoleh daripada kutipan tersebut termasuklah bilangan ketidakhadiran murid, kategori murid tegar, sederhana dan minimum, topik mana yang murid tidak hadir dan hadir penuh.
"Semua data ini akan membantu pihak sekolah dan guru merancang intervensi PdP bersemuka nanti.
"Misalnya, data kehadiran SPdPR akan membantu guru merangka program intervensi berbeza untuk setiap kumpulan murid yang berbeza kehadiran dalam PdPR. Data SPdPR ini juga akan meningkatkan tumpuan guru kepada topik yang ramai murid ketinggalan semasa PdPR.
"Ya, kumpul data penting. Tetapi mengumpulkan data yang benar dan telus adalah jauh lebih penting" jelasnya lagi.