KUCHING: Proses vaksinasi remaja berumur 12 hingga 18 tahun di Sarawak akan bermula dengan pelajar Tingkatan Empat dan Lima, esok.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, berkata ia membabitkan seramai 96,400 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun.
"Kesemua mereka akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, pemberian imunisasi COVID-19 itu akan dilakukan di sekolah dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai sekolah dan PPV awam terbabit.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Norisah Suhaili memberitahu BH bahawa pihaknya sudah menyerahkan senarai nama pelajar yang layak menerima suntikan vaksin, kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Namun, beliau enggan memberi maklumat terperinci mengenai perkara itu, termasuk sekolah yang terbabit untuk pemberian suntikan vaksin kepada pelajar.
Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah dalam satu kenyataan pula memaklumkan, vaksinasi di Mukah hanya akan membabitkan pelajar berusia 16 dan 17 tahun terlebih dahulu, bermula Khamis ini.
Katanya, proses vaksinasi akan dilakukan di Dewan Suarah Mesra membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah, SMK Three Rivers dan SMK St Patrick.
"Senarai penerima vaksin adalah berdasarkan nama yang telah mendaftar melalui sekolah masing-masing," menurut kenyataan itu.
Proses vaksinasi remaja berumur 12 hingga 18 tahun, yang merangkumi 10 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak, dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Ia sekali gus menjadikan Sarawak negeri pertama memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja.