Sunday, 26 September 2021

Kegagalan KPM punca dua masalah utama masih berlaku di sekolah

Imej hiasan

Saya seorang guru. Isteri saya juga seorang guru. Adik saya dan ibu mertua saya juga guru. Ramai ibu saudara dan sepupu saya adalah guru. Pendidikan dan persekolahan adalah sebahagian hidup keluarga kami.


Pernah dulu saya dan isteri ditempatkan mengajar di sekolah pedalaman Sarawak selama beberapa tahun. Kemudian saya bertukar perkhidmatan bila dapat tawaran berkhidmat di universiti dalam bidang pendidikan.


Walaupun sudah menjadi ahli akademik, hati dan jiwa saya masih seorang guru. Pendidikan kekal di dalam diri saya.


Sejak dulu, dua perkara yang menyedihkan tetapi masih wujud dalam sistem pendidikan negara kita ialah wujudnya kumpulan guru bukan opsyen dan guru duka lara.


Dua isu ini masih gagal diselesaikan walaupun telah wujud sekian lama. Setiap kali Menteri Pendidikan baru dilantik, isu ini pasti akan di ulang-ulang. Samalah seperti isu sekolah daif. Tetap tidak pernah selesai.


Guru bukan opsyen


Banyak kajian akademik membuktikan bahawa guru bukan opsyen akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. https://bit.ly/2XXIaWt


Bayangkan guru yang mahir dalam disiplin lain tetapi 'dipaksa' mengajar dalam mata pelajaran lain atas arahan guru besar atau pengetua. Semua kemahiran mengajar dalam disiplin opsyen asal terpaksa dilupakan begitu sahaja.


Guru Besar dan Pengetua memang tahu akan isu ini tapi mereka juga tiada pilihan. Mereka juga tersepit.


Cuba bayangkan apa situasinya jika seorang doktor mata ditugaskan membedah jantung anda? Anda yakin dan setuju untuk dibedah? Tentulah tidak.


Bayangkan apabila seorang guru agama Islam yang diarahkan mengajar pendidikan jasmani atau seorang guru sejarah yang 'dipaksa' mengajar bahasa Inggeris atau muzik?


Begitulah juga bila seorang guru yang dilatih empat tahun dalam bidang Bahasa Melayu tetapi bila ke sekolah dipaksa mengajar Sains.


Anda yakin dan benarkan anak-anak anda diajar oleh guru bukan opsyen?


Kebanyakan ibubapa tak kisah pun. Tetapi yang rugi adalah anak-anak mereka.


Guru duka lara


Kedua, isu guru duka lara. Guru duka lara terpaksa berpisah bertahun-tahun dengan isteri dan anak-anak kerana diarahkan bertugas di sekolah pedalaman atau di negeri yang berbeza dengan tempat tinggal isteri dan anak-anak. Bacalah satu kisah guru begini https://bit.ly/3AHpdpe


Bayangkan tekanan psikologi dan perasaan yang ditanggung oleh mereka. Bukan sebulan dua tetapi bertahun-tahun. Sehingga ada anak-anak yang membesar bukan di depan mata mereka. Hanya dapat berjumpa beberapa kali sahaja dalam setahun.


Banyak sudah kajian yang membuktikan bahawa guru yang tertekan psikologi dan emosi mereka didapati tidak akan bersedia melaksanakan pengajaran secara berkesan.


Jika jiwa mereka sendiri menderita, mana mungkin mereka dapat membimbing dan menggembirakan pelajar pelajar di dalam bilik darjah. https://bit.ly/304XWwD


'Kegagalan KPM'


Mengapa isu guru bukan opsyen dan guru duka lara masih berlaku?


Satu-satu sebab ialah KEGAGALAN Kementerian Pendidikan Malaysia merancang dan melaksanakan dasar penempatan guru. Itu sahaja sebabnya.


Selain daripada itu semuanya adalah ALASAN sahaja. 'Tiada kekosongan' - adalah ayat penenang yang sering digunakan. Terdiam guru bila diserapah ayat ini.


Betul ada guru yang berpencen awal. Ada guru yang meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan. Ada guru berpindah ke PPD, JPN atau KPM. Tetapi selepas bertahun-tahun lamanya KPM melalui pengalaman tersebut apa solusinya?


Apakah sukar untuk KPM mengetahui berapa guru opsyen yang akan pencen lima tahun dari sekarang?


Adakah sukar untuk KPM membuat perancangan unjuran tawaran latihan di IPG mengikut kekosongan jawatan beberapa tahun ke hadapan?


Apakah sukar untuk menyusun supaya guru duka lara berpeluang kembali tinggal bersama isteri, suami dan anak-anak mereka sebagai satu keluarga?


Binalah pemodelan unjuran untuk membuat perancangan perkhidmatan guru. Jika sekadar ratusan guru yang terlibat, masih boleh diterima. Tetapi angkanya sejak dulu mencapai belasan ribu.


Kegagalan sistem KPM bukan sekadar menyulitkan kehidupan guru bukan opsyen dan guru dukalara sahaja. Ini juga adalah masalah kita semua sebab anak-anak kita dididik oleh mereka setiap hari.


Kita mahu guru-guru kita gembira dan sejahtera. Kita mengharapkan guru-guru dapat mengajar anak-anak kita dengan tenang dan bermotivasi. Mereka tidak boleh hilang fokus. Emosi mereka perlu lebih stabil.


Ingin juga nak tahu apa agaknya perasaan kalau pegawai atau ketua bahagian pengurusan di KPM yang bertanggungjawab melakukan penempatan guru pula dihantar tinggal di pedalaman dan terpisah bertahun-tahun dari keluarga mereka.


Agaknya mereka gembira? Atau mereka juga akan 'menderita perasaan' seperti guru duka lara?


Dr Anuar Ahmad adalah Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon