Friday, 17 September 2021

JPN perlu faham, jelas pendekatan KPM buka semula sekolah - Dr Radzi Jidin

Sesi libat urus KPM dan JPN dipengerusikan
oleh Menteri Kanan Pendidikan hari ini.
- Facebook Dr Radzi

PUTRAJAYA - Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negera perlu memahami dengan jelas pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pengoperasian pembukaan semula sekolah pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Perkara tersebut disampaikan dalam satu sesi libat urus Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bersama semua pengarah JPN awal pagi tadi.


"Semua JPN perlu memahami dengan jelas pendekatan KPM serta tatacara pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan. 


"Ini termasuklah perkara berkaitan penggiliran murid, garis panduan pengoperasian, kehadiran murid, pengurusan prasarana, pengawalan dan penyuraian murid serta pelanjutan sesi persekolahan 2021," katanya.

Beliau berkata maklumat perlu disampaikan kepada guru, ibu bapa dan murid melalui jaringan perhubungan KPM, JPN, PPD, Pengetua/Guru Besar, guru, ibu bapa/penjaga dan murid.


"Kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting dalam memastikan sesi pembelajaran bersemuka yang akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keberadaan sesebuah negeri dalam Fasa PPN dapat dilaksanakan dalam keadaan teratur dan selamat," jelasnya.



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon