Saturday, 11 September 2021

Data, hujah pendidikan tidak relevan sebagai alasan buka semula sekolah - Pakar

11 September - Keputusan untuk membuka semula sekolah perlu dilihat dari aspek kesihatan bukan aspek keperluan pendidikan sahaja.


Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pakar pendidikan Dr Anuar Ahmad berkata sedemikian sebagai mengulas cadangan beberapa tokoh yang bersetuju agar sekolah dibuka pada 3 Oktober ini.


Beliau memberi contoh misalnya sekolah perlu dibuka kerana murid-murid keciciran pembelajaran, murid-murid sudah 'burnout' di rumah, murid-murid sudah lama tidak bersosial dengan rakan-rakan, kaedah PdPR tidak berkesan dan sebagainya.


"Tetapi tidak ada satu pun pandangan yang mahu sekolah dibuka bersedia memberi jaminan anak-anak akan selamat daripada jangkitan apabila ke sekolah nanti. Tidak ada.


"Mereka yang mahu sekolah dibuka sekadar mencadangkan guru-guru kena jaga SOP di sekolah, ketatkan SOP sahaja.


"Jaminan tiada jangkitan? Tidak ada yang berani," katanya.


Beliau sekali lagi menegaskan bahawa isu buka sekolah ini bukan hanya isu pendidikan tetapi isu kesihatan.


"Tidak ada keperluan untuk perundingan atau perbincangan dari perspektif pendidikan," jelasnya lagi.


Beliau berkata, keputusan untuk membuka semula sekolah atau tidak, keputusan tersebut mestilah berasaskan data kesihatan dan bukan data pendidikan.


"Jika data kesihatan boleh memberi jaminan sekolah selamat untuk dibuka, maka bukalah sekolah.


"Jangan guna data dan hujah pendidikan. Itu tidak relevan dalam membuat keputusan yang tepat berkaitan pembukaan sekolah," katanya. 


Beliau mempersoalkan dengan kes harian 21,000++, kes kematian harian 350++, murid belum belum divaksinkan, varian Covid Delta berleluasa dan sangat pantas dijangkiti termasuk dalam kalangan kanak-kanak, adakah ianya selamat untuk sekolah dibuka? 


“Soalan mudah kedua, sebagai ibubapa, anda boleh buat pilihan. Berdasarkan maklumat kesihatan yang dikeluarkan oleh KKM setiap hari, antara keselamatan nyawa anak-anak atau pergi sekolah, buat masa ini manakah menjadi keutamaan anda?" katanya mengakhiri ulasan.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon