PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka berikutan bimbang peningkatan kes Covid-19.
Setiausahanya Normah Desa berkata sekiranya sekolah dibuka, persatuan itu juga bimbang pengusaha kantin akan menanggung kerugian apabila kehadiran pelajar dikhuatiri tidak sampai pada tahap sepatutnya.
“Ini kerana kebanyakan ibu bapa yang takut atau tidak bersetuju untuk menghantar anak ke sekolah.
“Dikhuatiri, pembukaan sekolah pada masa ini akan menyebabkan sekolah ditutup semula dalam masa terdekat sekiranya wujud kluster sekolah semasa sesi persekolahan,” katanya kepada FMT.
KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan hingga 31 Ogos.
Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, Normah berkata pembukaan sekolah pada September ini tidak sesuai untuk pelajar kembali ke sekolah.
“KPM perlu menangguh sesi persekolahan secara bersemuka sehingga situasi Covid-19 sudah terkawal,” katanya.
Normah berkata, pengusaha kantin juga tidak bersedia untuk menanggung kerugian dengan pembukaan sekolah pada masa terdekat ini.
Katanya, operasi kantin sekolah sangat terjejas dan sehingga kini mereka hilang pendapatan secara total.
“Namun, dengan pembukaan sekolah, pengusaha kantin perlu menyediakan dan mengeluarkan perbelanjaan bagi menjalankan operasi di kantin sekolah.
“Ditambah lagi dengan arahan SOP yang sangat ketat, menjejaskan pendapatan pengusaha kantin sehingga tidak dapat menampung kos pengoperasian.
“SOP ini juga menyebabkan pelajar tidak minat untuk turun membeli di kantin sekolah,” katanya.