Monday, 23 August 2021

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sudah tidak terpakai akibat pandemik

23 Ogos - Puan Nur Liyana Mohd Nazli, Pengurus Cawangan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi Atfal Jannah Kuantan & Kemaman berpendapat, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sudah tidak relevan dengan situasi semasa pendidikan di dalam negara ini.


Beliau berkata, Malaysia antara negara yang sistem pendidikannya terkesan teruk akibat pandemik COVID-19. Menurutnya, UNESCO telah memaparkan peta interakrif bagi memantau penutupan sekolah secara global di seluruh dunia (GLobal Monitoring of School Closure) melalui laman sesawangnya.

Imej via UNESCO

"Kalau kita lihat daripada segi tempoh penutupan sekolah, kita akan dapat lihat Malaysia termasuk dalam kategori negara-negara yang paling lama menutup persekolahan iaitu lebih daripada 41 minggu.


"Sehingga waktu ini, Malaysia telah menutup persekolahan selama 49 minggu! Kebanyakan negara di rantau Asia Tenggara ni termasuk dalam kategori ini macam Thailand (42 minggu), Indonesia (64 minggu), Filipina & Kemboja (51 minggu).


"Tapi tak kurang juga ada jiran kita yang cemerlang. Singapura hanya menutup persekolahan selama 14 minggu dan Brunei 17 minggu sahaja. Yang cemerlang macam New Zealand tak yah cakaplah, hanya 9 minggu sahaja penutupan sekolah kerana pandemik.


"49 minggu ialah bersamaan lebih 12+ bulan penutupan sekolah, bermakna anak-anak kita kehilangan lebih satu tahun solid waktu persekolahan normal mereka. Saya kira, dalam tempoh ini sepatutnya sudah ada data kajian lokal berkenaan kesan PDPR jangka panjang ini kepada anak-anak kita di Malaysia," katanya.


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 tidak lagi relevan


Beliau berkata, dengan hasil kajian tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 sudah tidak lagi terpakai. Menurutnya, ini berlaku akibat semua objektif dan matlamat sudah tidak selari dengan keadaan semasa.


"Gelombang satu, dua dan tiga itu pun dah tak terpakai. Boleh jadi ada antara inisiatif dalam blueprint itu dah 'back to square one' kesan daripada penutupan sekolah dan pandemik ini.


"Langkah terbaik pada masa ini mungkin, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dah perlu keluar blueprint roadmap baru untuk beberapa tahun akan datang," katanya lagi.


Pertimbangkan cadangan daripada OECD


Menurut Nur Liyana lagi, satu kajian daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencadangkan beberapa perkara yang mungkin boleh menjadi perhatian KPM. Dalam menghadapi pembelajaran atas talian, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:


1. Akses kepada internet 


Akses kepada internet yang mencukupi untuk menyokong PDPR Kalau murid di bandar dan daripada golongan berkemampuan, yang ini biasanya tak ada masalah. Tapi masalah adalah kepada kanak-kanak luar bandar yang tak ada liputan internet yang baik dan daripada keluarga berpendapatan rendah. 


"Bagaimana kita hendak memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan yang adil? Takkan kita expect semua nak panjat pokok macam Veveonah? Kena ada data yang realistik tentang berapa ramai lagi kanak-kanak Malaysia yang masih disconnected,"katanya.


2. Tempoh pembelajaran yang mencukupi (hours of instruction) 


Bagi yang connected pula, isu seterusnya adakah mereka mendapat hours of instruction yang mencukupi? Untuk perhatian penggubal polisi ini adalah sesuatu yang patut diberi perhatian. Antara faktor penyumbang selain masalah internet dan ketiadaan gajet ialah tiada panduan kurikulum yang khusus dan jelas untuk PdP dalam talian. Kita memang tak boleh teruskan dengan kurikulum biasa seperti anak kita ke sekolah setiap hari. 


3. Literasi digital di kalangan murid dan guru. 


Beliau berpendapat, ramai guru yang ada inisiatif meningkatkan pedagogi atas talian dengan pelbagai kemudahan teknologi yang ada. Malah ada guru yang sanggup menggunakan duit poket sendiri melengkapkan diri dengan kemudahan  canggih untuk mempelbagaikan teknik mengajar. 


Namun faktor-faktor ini tidaklah terlalu diberi penekanan dalam laporan OECD tersebut, sebab penyumbang terbesar kepada kejayaan pembelajaran dalam talian di dunia ini sebenarnya bukanlah dengan kecanggihan teknologi tetapi positive learning attitude atau kemahuan untuk belajar yang tinggi! 


Pembinaan Karakter


"Kemahiran bukan kognitif seperti personaliti kendiri dan motivasi ini mempunyai kesan positif langsung kepada taraf ekonomi dan pendidikan. Sebab ada positive learning attitudes inilah, walaupun dikelilingi banyak kekurangan, Veveonah sanggup panjat pokok untuk ambil exam! 


Beliau berkata, ada enam sifat belajar (learning attitudes) yang disarankan oleh OECD untuk mula diterapkan dan diberi penekanan dan ianya boleh dilakukan dan dibentuk melalui intervensi polisi dan pengamalan di dalam kelas; 


  1. Kemahuan pelajar untuk belajar dan memahami sebaik mungkin (ambitious learning goals); 
  2. Pelajar dapat melihat sekolah adalah relevan untuk menentukan kerjaya mereka pada masa depan (value of school); 
  3. Merasa diri sebahagian daripada komuniti sekolah (sense of belonging); '
  4. Komitmen pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan pencapaian (motivation to master tasks); 
  5. Kemampuan pelajar menyelesaikan masalah (self-efficacy); 
  6. Kepuasan dan minat membaca (enjoyment of reading). 


"Semua nilai ini bukan sedia ada dalam diri anak-anak, tapi dibentuk melalui peranan sekolah dan ibu bapa. Semua nilai yang dinyatakan di atas ini adalah penting untuk pencapaian akademik anak-anak sewaktu persekolahan normal, apatah lagi sewaktu sekolah ditutup dalam tempoh pandemik. 


"Kalau pendidikan kita berjaya terapkan nilai-nilai ini, tidak kira apa pun keadaan yang perlu dihadapi, insyaAllah anak-anak masih bermotivasi dan ada coping skills untuk belajar di mana sahaja. 


"Dan banyak kajian-kajian yang membuktikan perkara ini. OECD mencadangkan pendidikan pada waktu pandemik ini memfokuskan kepada pembentukan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak kita. 


"Dan kesedaran di kalangan pendidik sahaja tak cukup, tapi perlu melibatkan sekali peranan ibu bapa untuk menjadi model pada anak-anak. Jadi, kena ada serampang dua mata, matlamat kita sekarang bukan setakat pendidikan anak-anak tetapi juga mengubah mentaliti ibu bapa daripada "exam oriented" kepada "learning-centered",


"Dan bilakah lagi masa yang terbaik untuk kita memulakan langkah ini jika bukan sekarang, dalam masa semua merasakan kita terdesak untuk mencari satu solusi terbaik demi masa depan anak-anak kita? Jangan nanti kita merasa selesa semula dengan cara lama dan semakin sukar untuk berubah," jelasnya lagi sebelum menutup huraian pendapat beliau.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon