Tuesday, 10 August 2021

PdPR: Kejayaan murid tidak boleh hanya bergantung kepada guru - Pengetua


Kejayaan seseorang pelajar tidak terletak pada kaedah pembelajaran sama ada dijalankan secara dalam talian atau luar talian. Sebaliknya ia lebih banyak bergantung kepada sikap, disiplin dan tanggungjawab pelajar itu sendiri.


Sekalipun murid itu mengikuti pembelajaran bersemuka seperti sebelum ini tetapi jika bersikap acuh tidak acuh terhadap pelajaran dan tidak berdisiplin, tentu saja sukar untuknya memperoleh kejayaan.


Kita tidak menafikan persekitaran sekolah, pengajaran, galakan dan tunjuk ajar guru secara bersemuka tentu ada sumbangannya, tetapi dorongan dalaman dan motivasi murid itu sendiri jauh lebih penting.


Suasana pembelajaran hari ini menyaksikan ia dijalankan secara dalam talian justeru pelajar perlu lebih bertanggungjawab atas pendidikannya iaitu dia menentukan apa yang ingin dipelajarinya, bila dan bagaimana hendak belajar atau dari mana sumber memperoleh pengetahuan itu.

Kata mudahnya, ia menyarankan murid tidak lagi hanya bergantung kepada sekolah untuk menyusun jadual pembelajaran. Mereka tidak boleh lagi bersikap hanya belajar semasa guru masuk mengajar dalam talian sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab pada pelajaran mereka.


Diakui untuk melahirkan rasa tanggungjawab ini bukan mudah. Ia memerlukan kerjasama kolektif semua pihak iaitu guru, ibu bapa, komuniti mahupun diri murid sendiri. Hal ini tentunya lebih mendesak jika mereka bakal menghadapi peperiksaan misalnya Sijil Pelajaran Malaysia.


Penulis adalah Pengetua, SBP Integrasi Rawang


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon