![]() |
Imej hiasan |
Namun, bagi ibu-ibu yang bukan daripada latar belakang pendidikan, ia bagaikan satu bebanan yang dipikul berterusan. Golongan ibu agak tersepit kerana terpaksa mengajar diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengajar anak, hanya berpandukan rakaman video yang dihantar guru.
Gelaran 'singa’ setiap kali ibu berdepan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak bukanlah perkara baharu. Luahan telah berkali-kali disuarakan tetapi masih tidak nampak noktahnya.
Bukanlah hendak berkira, namun pada masa yang sama seorang ibu memainkan banyak peranan serentak. Menguruskan keperluan rumah, memasak, bekerja dari rumah, malam pula membantu anak menyiapkan kerja rumah. Kalau anak lebih daripada seorang, tekanan kepada ibu berganda.
Malah, ada ketika sambil bekerja pun terpaksa jenguk latihan sekolah anak. Kalau dibiarkan kelak bertimbun pula. Jadi bila masanya ‘ibu singa’ nak berehat atau tiada lagi istilah me time, khususnya untuk golongan ibu merehatkan minda bersantai melayan filem kegemaran. Kalau begini, si ibu perlu bijak mengurus mental dan jiwanya. Itu pun kalau suasana di rumah tenang sentiasa.
Bilalah agaknya sekolah akan kembali beroperasi seperti biasa. Dengan kes Covid-19 yang belum nampak redanya, pergolakan politik yang tidak kurang hebatnya dan menteri pula angkat kaki. Apa nak jadi dengan sistem pendidikan negara kita?
Prestasi anak pula kian hari kian merudum. Pelajaran yang tidak difahami, terpaksa ditelan dek kerana mengikut jadual PdPR yang ditetapkan mengikut silibus dan perlu dihabiskan.
Kasihan anak-anak yang akan berdepan peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibarat hilang hala tuju dan terpaksa berdikari. Kalau berdisiplin tidaklah bimbang tetapi bagaimana dengan anak-anak yang agak nakal, yang mata celik hati ke laut setiap kali berdepan PdPR bersama guru. Masa depan mereka seolah-olah diperjudikan.
Sumber: Sinar Harian