Monday, 30 August 2021

Mana Pelan Pemulihan Pendidikan KPM?


PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan untuk mendedahkan sama ada terdapat Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi menangani beberapa masalah pendidikan termasuklah kesihatan mental.


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, pelan tersebut wajar dirangka, selain dari sekadar sibuk dengan urusan pembukaan sekolah.


Katanya, walaupun kadar kematian dan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sangat rendah berbanding orang dewasa, kesan pandemik tidak bersifat kesan langsung dari jangkitan tetapi mereka menghadapi tiga kesan tidak langsung dan berjangka panjang.


“Pertama, kesan kesihatan mental dan emosi (kemurungan) sehingga ada yang membawa kepada kes membunuh diri. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UNICEF Malaysia menunjukkan peningkatan kes bunuh diri di kalangan remaja meningkat sekali ganda berbanding sebelum pandemik Covid19. Sangat membimbangkan.


“Kedua, kesan gangguan tumbesaran akibat pemakanan yang tidak seimbang dan baik. Akibat ibu bapa kehilangan pendapatan, kajian UNICEF Malaysia juga mendapati ramai anak-anak berhadapan dengan masalah pengambilan pemakanan yang sihat. Khususnya di kalangan keluarga miskin tegar.


“Ketiga, masalah keciciran pendidikan. Akibat pandemik Covid-19, sekolah di negara ini telah ditutup hampir 250 hari sejak Mac 2020. Ini menyebabkan ramai anak-anak berhadapan keciciran pembelajaran khususnya di kalangan anak-anak yang miskin dan tiada kemudahan peranti dan akses Internet, kanak-kanak di pedalaman dan kanak-kanak kurang upaya. Kumpulan paling terkesan ialah anak-anak di tahap satu sekolah rendah (tahun satu hingga tahun tiga) yang masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M,” katanya.


Justeru, beliau meminta supaya Kementerian Pendidikan mendedahkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi mengatasi isu kesihatan mental, masalah tumbesaran dan keciciran pendidikan di seluruh negara.


“Kementerian Pendidikan tidak nampakkah kesan jangka panjang pada anak-anak akibat gangguan kesihatan mental, anak-anak yang kemurungan, anak-anak yang kurang zat makanan dan yang keciciran pendidikan mereka?


“Selepas hampir dua tahun anak-anak kita tertekan dengan pandemik, apakah Kementerian Pendidikan tiada lagi apa-apa tindakan dan sekadar ‘pejam mata’ sahaja seolah kesan-kesan pandemik Covid-19 kepada kanak-kanak tidak begitu kritikal dan boleh diabaikan? Mana Pelan Pemulihan Pendidikan?” soalnya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon