Mohd Aizat Izzuddin Bin Azme, murid berkeperluan khas Kolej Vokasional Keningau, telah menerima pengiktirafan anugerah cemerlang atas lukisan yang dihasilkannya untuk festival seni Lugoj MELOS FEST anjuran Live Muse Art Society of Arts pada 27 Julai 2021.
Lukisan bertajuk “Bele-Bele” itu telah dipertandingkan dalam kategori seni visual di festival tersebut yang berpangkal di Romania. Frasa “Bele-Bele” boleh diterjemahkan sebagai orang-orang (penghalau burung di sawah padi) dalam bahasa Bajau.
Lukisan yang dihasilkan oleh Aizat Izzuddin itu memaparkan orang-orang sebagai makhluk mitos yang memiliki reka bentuk mirip manusia dan seakan-akan tersenyum sambil memerhati sesuatu. Ianya berlatarkan sebuah bukit serta kawasan sawah padi yang merupakan ciri geografi utama kawasan penempatan komuniti Bajau dan Iranun di Kota Belud.
Aizat Izzuddin mendapat inspirasi menghasilkan karya seni itu apabila dipilih untuk menyampaikan cerita etnik kaum Bajau di festival sastera Brunei pada tahun lepas.
Selain daripada pencapaian ini, Aizat Izzuddin telah berjaya memenangi beberapa anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa atas penglibatannya dalam bidang seni. Antara anugerah yang pernah diterimanya adalah World Changer Award dan tempat ketiga dalam pertandingan cerita animasi anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengarah kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian murid tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar Aizat serta kedua ibu-bapanya yang sentiasa menyokong penglibatan anaknya dalam pelbagai aktiviti.