![]() |
Imej hiasan |
KUALA LUMPUR: Isu kegiatan kokurikulum tetap diadakan sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), boleh dianggap selesai apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui pekeliling bertarikh 25 Jun lalu.
Menerusi pekeliling itu, guru dibenarkan melaksanakan hanya 15 perjumpaan keseluruhan bagi aktiviti kokurikulum sepanjang Januari hingga Disember ini berbanding 36 perjumpaan asal sebelum ini.
Bagaimanapun, tidak semua sekolah mematuhinya. Seorang guru sekolah rendah yang enggan dikenali berkata, beliau sendiri merasa terbeban dengan tindakan pihak sekolah yang memaksa guru melaksanakan aktiviti kokurikulum setiap minggu sepanjang pelaksanaan PKP.
Katanya, surat pekeliling KPM menyebut hanya lima perjumpaan sahaja perlu dilaksanakan bagi setiap kelab/persatuan; pasukan badan beruniform dan sukan/permainan sepanjang Januari hingga Disember berbanding 12 masing-masing, sebelum ini.
Bagaimanapun, sejak awal tahun ini, beliau dan rakan guru di sekolah sama, diarah melaksanakan aktiviti kokurikulum setiap minggu melalui Google Meet sekali gus menambahkan beban guru yang juga perlu melaksanakan PdPR untuk pelajar setiap hari.
Isunya kini katanya, bukan guru tidak mahu melaksanakan aktiviti kokurikulum secara dalam talian tetapi pentadbir sekolah enggan mengikuti pekeliling dikeluarkan KPM.
"KPM sudah maklumkan hanya lima perjumpaan masing-masing bagi persatuan, badan beruniform dan sukan tetapi pihak sekolah menyuruh guru melaksanakan lebih daripada itu.
"Jadi setiap minggu tanpa gagal kami perlu peruntukkan dua jam melalui Google Meet, untuk aktiviti kokurikulum pelajar dan ini tentunya menambahkan beban tugas guru yang perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan PdPR pada masa ini," katanya.
Menurutnya, kehadiran pelajar dalam aktiviti kokurikulum kini semakin merosot berbanding ketika ia mula dilaksanakan.
"Bukan mudah menarik minat pelajar melakukan aktiviti kokurikulum secara dalam talian. Ini bukan seperti mata pelajaran teras yang boleh dilaksanakan secara PdPR. Jadi saya mohon pentadbir sekolah ambil berat isu ini.
"Saya kasihankan pelajar, ada antara mereka cuba menjimatkan data untuk PdPR tetapi kini perlu menghadiri aktiviti kokurikulum secara dalam talian pula.
"Setakat ini ada sekolah yang sudah tidak lagi melaksanakan aktiviti kokurikulum secara dalam talian, mungkin mereka sudah dapat melengkapkan 15 perjumpaan digariskan KPM, tetapi kami sehingga kini masih perlu melaksanakannya," katanya.
NUTP minta sekolah teliti semula pekeliling KPM
Kalangan guru yang berdepan tekanan pentadbir sekolah untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum melebihi ketetapan dibuat Kementerian Pelajaran (KPM), diminta melaporkan kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata aktiviti kokurikulum perlu dilaksanakan berikutan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kurikulum (PAJSK) bagaimanapun mengikut pekeliling KPM, pelaksanaannya perlu diselaraskan supaya tidak mengganggu pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) guru dan murid.
Tambahnya, KPM melalui pekeliling bertarikh 25 Jun itu, turut memberi kelonggaran kepada guru untuk hanya melaksanakan 15 perjumpaan keseluruhan bagi aktiviti kokurikulum sepanjang Januari hingga Disember ini berbanding 36 perjumpaan asal sebelum ini.
"Pentadbir sekolah sepatutnya memberi guru ruang berbuat demikian sehingga hujung tahun ini jadi mengapa perlu dilaksanakan pelaksanaannya pada waktu kritikal kini?
"Ini pada saya bukan masalah yang dihadapi setiap sekolah. Semuanya bergantung kepada pentadbiran sekolah itu sendiri.
"Jadi saya minta pihak pentadbiran teliti dan hayati semula garis panduan dikeluarkan KPM berhubung pelaksanaan aktiviti kokurikulum ini," katanya ketika dihubungi BH, di sini.
Aminuddin berkata, pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara dalam talian, tidak semestinya hanya dilakukan melalui Google Meet sahaja.
Mengikut pekeliling KPM katanya, pelaksanaannya perlu merangkumi bahan rangsangan pengetahuan yang boleh diberi dalam bentuk video, gambar, petikan atau nota ringkas dan tugasan yang boleh disediakan melalui soalan dalam bentuk 'google form', projek atau kerja kursus.
"Perlu ikut kesesuaian juga. Ada pelajar tidak dapat melaksanakan PdPR disebabkan tiada capaian internet, apatah lagi nak disuruh mengikuti aktiviti kokurikulum melalui Google Meet
"Aktiviti kokurikulum sepatutnya adalah sebagai sokongan bagi memantapkan pembelajaran subjek teras pelajar dan tidak sepatutnya menjadi lebih besar daripada pembelajaran dalam bilik darjah," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, aktiviti kokurikulum penting dilaksanakan walaupun secara dalam talian.
"Aktiviti kokurikulum yang dijalankan juga lebih kepada pertandingan secara virtual dan pelajar boleh menjalankan tugas atau aktiviti berkenaan di rumah masing-masing.
"Aktiviti ini penting bukan sahaja bertujuan membina kemahiran, ketrampilan dan personaliti pelajar, tetapi juga dapat mengurangkan tekanan mereka ketika berhadapan dengan kekangan akibat wabak pandemik COVID-19," katanya.
Katanya, aktiviti kokurikulum seperti itu tidak menjejaskan PdPR subjek teras kerana ia sebagai proses pentaksiran dan pembentukan pelajar secara keseluruhannya.
Tambahnya, dalam hal ini guru perlu memikirkan kaedah terbaik atau 'blended learning' dengan mencampurkan pelbagai kaedah pembelajaran bagi memastikan pembangunan pelajar secara keseluruhannya dapat terus dicapai.