![]() |
Imej hiasan |
PETALING JAYA: Kerajaan menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit dan alat rakaman lain ke dalam mesyuarat kerajaan di semua peringkat yang diklasifikasikan sebagai sensitif.
Dalam surat pekeliling yang dikeluarkan pada April dan dilihat FMT baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, penguatkuasaan itu susulan terdapat penjawat awam yang mendedahkan dan mengeluarkan maklumat rahsia dan berisiko tinggi ke platform umum.
Zuki berkata, penjawat awam terbabit menggunakan telefon bimbit untuk merakam maklumat tersebut.
Beliau berkata, ketua jabatan atau ketua mesyuarat diberi kuasa untuk mengisytiharkan bilik mesyuarat sebagai zon “tidak ada telefon bimbit atau alat rakaman” dan melarang hadirin untuk membawa masuk sebarang peranti sedemikian.
Namun, sekiranya telefon bimbit dibenarkan dalam bilik mesyuarat, ketua boleh melarang penggunaannya dengan memastikan telefon bimbit dimatikan atau ditetapkan dalam mod penerbangan. Ia juga boleh dihidupkan tetapi tidak digunakan.
Beliau menyatakan gajet berguna untuk komunikasi pantas tetapi berkata, penggunaannya yang tidak terkawal akan mengakibatkan kebocoran maklumat yang boleh membahayakan pihak pentadbiran.
“Larangan ini bertujuan menghentikan segala penyalahgunaan yang dapat merosakkan imej kerajaan dengan klip audio atau video yang tular sebelum keputusan rasmi diumumkan kepada masyarakat umum,” katanya.
Zuki berkata, mesyuarat yang memerlukan kawalan itu melibatkan perkara-perkara yang, sekiranya dibocorkan kepada umum, boleh membahayakan negara, mempengaruhi ekonomi dan menimbulkan masalah kepada kerajaan dan merosakkan reputasinya.
Antara mesyuarat penting yang termasuk dalam kategori ini adalah:
- Mesyuarat Jemaah Menteri;
- Mesyuarat Exco negeri;
- Mesyuarat keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa yang melibatkan keputusan penting;
- Mesyuarat lembaga tender; dan
- Mesyuarat membincangkan langkah-langkah penguatkuasaan.
Beliau berkata mereka yang hadir mesti dimaklumkan mengenai larangan itu dalam surat undangan, selain menambah bahawa pemberitahuan mengenai perkara itu mesti ditunjukkan dengan jelas dalam bilik mesyuarat.
“Tindakan akan diambil terhadap pegawai yang tidak mematuhi larangan ini. Sekiranya ada tindakan pelanggaran ini yang membabitkan keselamatan atau pelanggaran jenayah, tindakan tersebut akan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.