28 Ogos - Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad menasihatkan kepada ahli politik muda dan kepada mereka yang minat kepada politik pendidikan membaca cadangan beliau dalam isu sekolah vernakular.
"Jangan ikut strategi ahli politik senior yang asyik cakap nak mansuhkan sekolah vernakular. Tapi apa pun tak jadi. Kena faham mereka yang kuat bercakap nak hapuskan sekolah vernakular sebenarnya tidak faham situasi masyarakat. Bunyinya memang sedap "hapuskan sekolah vernakular" tapi itu bukan realiti," jelas beliau.
Tujuan atas kepentingan politik
Anuar juga mempersoalkan setelah hampir 64 tahun merdeka, daripada 1,060 buah sekolah SJKC, tiada sebuah pun sekolah-sekolah tersebut dimansuhkan. Bahkan SJKC kategori sekolah kurang murid (SKM) pun tidak berjaya dimansuhkan.
"Sebab itu janganlah percaya pada orang politik bila cakap nak mansuhkan sekolah vernakular," katanya lagi.
Beliau bekata, sebagai pemimpin masa depan (merujuk kepada ahli politik muda), sepatutnya cara yang lebih realisik patut digunakan. Pelbagai cara beracuan masyarakat Malaysia yang harmoni yang lebih baik, jujur tetapi tegas berprinsip. Ahli politik muda ini tidak sepatutnya mengguna cara senior politik mereka yang hanya akan memecahbelakan rakyat untuk kepentingan politk sendiri.
"Mengapa tidak anda gunakan strategi "utamakan bahasa Melayu dan raikan sekolah vernakular"?
"Prcayalah, anda pasti akan mendapat sokongan dari orang Melayu dan bukan Melayu. Sebab itu pemimpin muda kena sensitif tentang apa yang sebenarnya dirasai dan diingini oleh rakyat berbilang kaum. "Jangan sekadar dengar pandangan sesetengah pihak yang emosional dan tak berpijak di bumi nyata," katannya lagi.
Naratif pecah dan perintah.
Menurut beliau lagi, secara umumnya orang Melayu mahu bahasa Melayu didaulatkan sesuai dengan semangat perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Mereka mahu Bahasa Melayu diiktiraf dan diamalkan sebagai bahasa utama di negara itu.
"Setahu saya tak ada orang Melayu yang anti sekolah vernakular kalau bahasa Melayu benar-benar berjaya diutamakan dan menjadi bahasa pengantar di sekolah vernakular.
"Orang Melayu menjadi marah dan tidak berpuas hati bila bahasa Melayu diremehkan di sekolah vernakular.
"Hakikatnya, sudah ramai orang Melayu yang hantar anak-anak mereka ke sekolah Cina. Ada lebih 80 ribu pelajar Melayu dan Bumiputera di sekolah Cina. Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun. Bukankah itu bukti jelas bahawa ramai orang Melayu bukan anti sekolah Cina?" katanya lagi.
Jesteru itu, beliau berkata untuk dapat sokongan orang Melayu, ahli politik yang bijak akan perjuangkan untuk tingkatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di sekolah vernakular.
Inilah isu induk yang harus diselesaikan untuk mendapatkan sokongan Melayu bukan dengan cara cadangkan supaya mansuhkan sekolah vernakular sedangkan bahasa Melayu masih ditakuk lama.
"Perspektif orang bukan Melayu pula, mereka mementingkan soal pendidikan dan sekolah vernakular. 200 tahun sekolah Cina telah dibenarkan wujud di negara ini.
"Dalam pendidikan vernakular tentulah ada juga isu keperluan bahasa Cina dan Tamil. Jadi kalau nak dapat sokongan bukan Melayu pula, janganlah cadang mansuhkan sekolah vernakular. Tentulah mereka akan rasa terkilan,"
Menurut beliau, perkara yang sama juga akan berlaku jika ada cadangan untuk mansuhkan sekolah agama atau sekolah tahfiz. Orang Melayu pun akan berasa kecewa. Beliau menyarankan agar meraikan kewujudan sekolah vernakular dengan syarat sekolah vernakular mestilah utamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
"Orang bukan Melayu tak pernah tolak pun amalan bahasa Melayu di sekolah vernakular. Sejak Laporan Razak 1956 lagi amalan ini sudah diterima. Di dalam Perlembagaan negara pun sudah jelas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
"Cuma agenda ini tidak diperkasakan sahaja sebab orang politik lebih sibuk nak mansuhkan sekolah vernakular berbanding usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu," jelasnya lagi.
Beliau berkata, menjadi tugas kerajaan hari ini untuk lakukan pemerkasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular. Menteri Pendidika sekarang perlu mulakan agenda pemerkasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular tanpa ragu-ragu.
"Janganlah tersipu-sipu dan takut untuk bertegas dengan agenda memperkasa bahasa Melayu di sekolah vernakular.
"Usahakan supaya masa pengajaran bahasa Melayu ditambah di sekolah vernakular. Standard soalan peperiksaan Bahasa Melayu di semua sekolah vernakular mestilah selaras dengan sekolah kebangsaan. Guru-guru pakar bahasa Melayu ditugaskan mengajar di sekolah vernakular.
"Dalam pada masa yang sama raikan kewujudan sekolah vernakular. Sekolah vernakular sudah menjadi sebahagian warisan kemajmukan rakyat Malaysia," katanya.