PUTRAYAJA- Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin hari ini berkongsi Kenyataan Media Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) mengenai perluasan inisiatif pemberian vaksin secara walk-in ke seluruh negara untuk kumpulan khas.
Melalui kerjasama rapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan CITF, guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah bawah KPM adalah antara kumpulan khas yang disenaraikan.
"Saya menyeru guru/AKP/pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima temujanji dos pertama vaksin atau belum mendaftar mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing.
"Perincian mengenai pemberian vaksin secara walk-in bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM, termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut beliau, usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF.
Mengikut rekod KPM, sehingga 7 Ogos 2021, seramai 352,649 orang guru (85.41%), 52,256 orang AKP (77.69%) dan 54,930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas/van sekolah (46.64%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.
Bagi guru kelas peperiksaan pula, seramai 84,995 orang (94.89%) telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.
"Marilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19," katanya lagi.
#MenangBersama