PETALING JAYA: Garis panduan baharu yang menentukan tugas guru dan pentadbir, memberikan gambaran jelas terhadap peranan mereka di sekolah manakala pihak lain seperti ahli politik dan ibu bapa juga kini tahu mengenai batas mereka, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan Panduan Tadbir Urus Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan: Malaysian School Governance (MySG) minggu lalu berkata ia adalah untuk memperbetulkan salah faham dan kekaburan peranan itu, sekali gus menyebabkan 37% daripada mereka kecewa dengan profesion terbabit.
“Ia adalah salah satu penyelesaian dan semua orang kini jelas dengan tugas sebagai seorang guru. Pentadbir, ahli politik, orang awam, ibu bapa dan pelajar tahu batas tugas guru di bawah MySG.
“Guru di Malaysia adalah yang terbaik tetapi mereka juga mempunyai kehidupan peribadi seperti orang lain. Jadi, bagi menyediakan yang terbaik untuk pelajar, kita alu-alukan garis panduan ini,” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan kepada FMT.
Menurutnya, bagi situasi samar yang termasuk di bawah skop ‘sukarela’, ia bererti sumbangan seseorang guru mengambil inisiatif lebih untuk pelajarnya, tidak boleh diambil mudah.
“Beban kerja guru disebabkan oleh peningkatan tugas pentadbiran sejak lebih kurang sedekad lalu agak membebankan mereka di dalam profesion ini.
“Sebagai contoh, kelas tambahan atau tuisyen dikendalikan guru ketika waktu di luar persekolahan bukanlah tugas hakiki mereka dan ini seharusnya dihargai,” katanya sambil menambah bahawa MySG kini boleh dijadikan panduan sekiranya berlaku pertikaian antara pentadbir dan guru.
Ditanya bagaimana isu ini membabitkan ahli politik, Tan berkata mereka juga menganggap guru bekerja 24 jam dan tujuh hari seminggu, termasuk menggunakan hari Sabtu dan Ahad untuk program Parlimen seperti mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tuisyen serta pengagihan bantuan.
“Jadi, pembabitan guru secara langsung atau tidak langsung terhadap aktiviti ini menyumbang kepada beban kerja dipikul. Sekurang-kurangnya garis panduan ini memberi gambaran lebih jelas terhadap banyak perkara,” katanya.
Berdasarkan MySG, guru hanya boleh dipanggil bertugas untuk dua hari Sabtu setiap bulan sebagai tugas tambahan manakala ketika cuti persekolahan pula, pengetua boleh meminta mereka kembali bagi separuh daripada jumlah keseluruhan tempoh percutian terbabit.
Dalam rumusan garis panduan itu, kementerian menjelaskan peranan sedia ada yang terkandung dalam dokumen pada 2016 mendapati terdapat banyak kesamaran membabitkan tugas pentadbir dan guru. Ini seterusnya mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.
“Selain itu, MySG juga menyeragamkan pengurusan sekolah dari segi pengajaran dan semua aktiviti lain yang dilaksanakan di sekolah,” kata kementerian itu.