Monday, 12 July 2021

Sistem pendidikan Malaysia semakin jauh ketinggalan - Dr Anuar


Bagi memastikan rakyat kita berada di hadapan, pemimpin negara khususnya KPM perlu segera melakukan revolusi kepada sistem pendidikan negara. Bukan sekadar tampal sana tampal sini lagi. 


Rakyat khususnya generasi muda berhak mendapat sistem pendidikan yang lebih baik dari apa yang ada sekarang. Negara lain semakin jauh meninggalkan kita. 


Dulu pendidikan di Singapura, Vietnam, China, Korea Selatan dan puluhan negara lain setara negara kita, malah ada yang di belakang kita. Sekarang mereka mempunyai sistem pendidikan yang lebih maju dan hebat dari kita. 


Dalam senarai PISA, Malaysia kekal berada di bawah purata- 'below average'. Sistem pendidikan negara kita perlukan revolusi. 


Mana yang patut didahulukan? 


(1) Kurikulum dan sukatan pelajaran perlu diganti baru. Apa yang sedia ada sudah ketinggalan, lapuk dan tidak lagi kalis masa depan. Kalau tidak digantikan segera, persaingan rakyat negara kita akan merosot. Kemahiran dan potensi anak-anak kita akan lebih rendah berbanding di negara lain. Akhirnya, kita akan melahirkan lebih ramai penganggur. 


(2) Latihan guru perlu dirombak sepenuhnya, PAK21 bukan sekadar slogan kosong tetapi amalan teras dalam latihan guru. Bersediakah guru dalam persekitaran 4iR, automasi dan IoT? Cekapkah guru-guru untuk tingkatkan kemahiran kreativiti dan inovasi murid-murid di sekolah? Bukan salah guru, mereka cukup mahir dengan cara latihan guru yang sedia ada dulu. Cuma dalam amalan pengajaran lama, keupayaan dan potensi murid-murid memang sukar dijelmakan. 


Era pengajaran konvensional, ikut jadual waktu dan mantra 'guru tahu semua perkara' sudah berlalu. Pendidikan masa depan tidak lagi rigid dan statik. Pendidikan masa depan akan lebih fleksibel, terbuka dan dinamik. Hafalan untuk semata-mata menjawab soalan peperiksaan akan menyebabkan anak-anak kita ketinggalan. Pendidikan masa depan lebih dari sekadar menghafal. 


(3) Prasarana dan kemudahan pembelajaran yang berteknologi tinggi semakin kritikal di semua sekolah. Sekolah daif adalah malapetaka kepada sistem pendidikan. Mesti diselesaikan segera isu sekolah daif. Pendidikan adalah pelaburan. Pendidikan perlukan teknologi terkini. 


(4) Basmi sepenuhnya jurang akses pendidikan antara murid-murid di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman. Basmi jurang pendidikan antara anak orang kaya dan orang miskin. Basmi jurang pendidikan antara anak-anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan ataupun orang asli. Semuanya mestilah dapat peluang untuk cemerlang dalam pendidikan. Semua anak-anak yang berpotensi dalam pelajaran tetapi miskin dan tidak bernasib baik mesti dibantu oleh kerajaan. 


PENDIDIKAN MEMERLUKAN PEMIMPIN YANG ADA KEBERANIAN MELAKUKAN PERUBAHAN... 

KEBERANIAN PULA HANYA DATANG PADA PEMIMPIN YANG BERSEDIA MENGAKUI KELEMAHAN.


Sumber: FB Dr Anuar Ahmad


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon