Saya petik fakta ini dari laporan OECD yang diterbitkan pada April 2021. https://bit.ly/3xlUgVJ
Lihat jadual di bawah. Jangan lihat angka-angka yang banyak tu. Tengok tiga benda sahaja. Kotak merah, kotak kuning dan anak panah oren.
Kajian OECD menunjukkan tiga kaedah PdPR yang paling baik dan dipilih oleh kebanyakan negara dunia ialah online, edaran nota dan televisyen.
Ada beberapa kaedah lain tetapi tahap keberkesanan adalah lebih rendah dan kurang menjadi pilihan negara di dunia .
Antara tiga kaedah tersebut, online (kotak merah) paling baik dan menjadi pilihan utama kebanyakan negara. Tetapi mestilah lulus dua syarat utama dulu iaitu (1) internet berkualiti dan (2) murid-murid mesti ada peranti.
Kalau 2 syarat ini tak lulus maka, kaedah online tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh di dalam sesebuah negara dan hanya boleh digunakan sebagai kaedah sampingan sahaja. Itulah cadangan dari pakar OECD.
Mengapa?
Jika diteruskan juga kaedah online akan timbul isu ketaksamaan pendidikan dan akan berlaku jurang pendidikan antara kumpulan murid-murid.
Jadi, bagi negara yang tidak mampu penuhi 2 syarat tersebut, buatlah pilihan kedua (kotak kuning) iaitu menggunakan nota edaran seperti modul atau buku kerja.
Pelajar boleh belajar dengan panduan manual/modul pembelajaran dan kemudian buat latihan seterusnya serahkan pada guru untuk tujuan penilaian.
Sebagai sokongan, pengunaan mobile phone digalakkan untuk pelajar bertanya soalan pada guru melalui whatapp atau Telegram.
Jika ada negara yang mempunyai kesukaran akses fizikal seperti jarak sekolah dan rumah murid-murid jauh atau terpaksa menggunakan jalan sungai atau pedalaman, maka OECD mencadangkan kaedah ketiga iaitu TV pendidikan.
Inilah tiga pendekatan PdPR yang diamalkan oleh banyak negara di dunia bergantung pada keupayaan negara masing-masing.
Kajian KPM pada 18 April 2020 menunjukkan 36.9% murid-murid tidak mempunyai peranti langsung. Ini mewakili 1.85 juta murid-murid di seluruh negara. Maksudnya keluarga mereka langsung tidak ada peranti. Kosong. PdPR secara online tidak boleh mereka ikuti.
Manakala 90% pula murid-murid tidak mempunyai peranti peribadi. Mereka masih boleh melakukan PdPR online dengan cara berkongsi dengan adik-beradik yang lain atau meminjam peranti ibubapa mereka.
Maksudnya, pembelajaran secara online walaupun boleh dilakukan tapi bergantung kepada keadaan. Jika ada kekosongan, boleh digunakan. Jika tidak ada kekosongan, mereka juga tidak boleh sertai PdPR secara online.
Selain itu isu capaian (akses) Internet yang rendah dan kelajuan (speed) internet yang lemah juga menyebabkan sebahagian besar anak-anak khususnya di luar bandar dan pedalaman tidak dapat menjalankan PdPR secara dalam talian.
Selain kajian KPM pada April 2020, kajian oleh NUTP dan kajian oleh pasukan Fakulti Pendidikan UKM juga membuktikan majoriti ibubapa dan guru-guru tidak bersedia untuk melaksanakan PdPR secara dalam talian. https://bit.ly/373o7Hh
Fahamlah kita bahawa berdasarkan data kajian, Malaysia adalah sebuah negara yang tidak sesuai menggunakan kaedah online sebagai kaedah utama PdPR.
Apa yang terjadi seterusnya ?
Lihat anak panah oren. Oleh kerana KPM mahu teruskan juga kaedah PdPR dalam talian sebagai kaedah utama (buktinya online adalah kaedah utama bila KPM keluarkan jadual PdPR ikut jadual waktu mata pelajaran, program agihan komputer pada 150,000 murid dan pelaporan kehadiran PdPR murid), didapati murid-murid yang tiada peranti tidak ada pilihan lain selain terpaksa memilih kaedah mobil Phone menggantikan komputer atau laptop.
Ramai murid-murid melakukannya. Malah ada kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat telco menyediakan telefon bagi tujuan PdPR.
Dalam senarai OECD, penggunaan mobil Phone berada di kedudukan yang ke empat. Ini bukan kaedah pilihan kebanyakan negara di dunia. Tahap keberkesanannya juga lebih rendah dari edaran nota dan penggunaan tv pendidikan.
Tetapi disebabkan keputusan KPM tidak mengambil kira keadaan masyarakat khususnya kumpulan miskin dan pedalaman, keputusan KPM ini menjadikan PdPR semakin gagal dilaksanakan secara berkesan. Sepatutnya jika rakyat kita tidak mampu melakukan PdPR secara online (kajian KPM membuktikan majoriti rakyat tidak mampu), KPM buatlah keputusan gunakan edaran nota dan TV Pendidikan sepenuhnya dalam sistem PdPR.
Mana-mana sekolah yang ada kemampuan secara online itu boleh dilakukan sebagai kaedah tambahan. Tetapi di peringkat kebangsaan, semua guru perlu fokus kepada 3 peranan utama mereka semasa PdPR iaitu (1) penyediaan modul edaran nota, (2) menjawab soalan pelajar melalui mobile phone serta (3) memeriksa latihan pelajar.
Keputusan meneruskan kaedah online di dalam keadaan ramai murid-murid tidak mampu menyebabkan keciciran pembelajaran berlaku khususnya di kalangan murid-murid keluarga miskin dan pedalaman.
Ini juga menjadikan tugasan para guru menjadi sangat sukar sehingga ada yang terpaksa mencari sungai dan mendaki bukit semata-mata mendapatkan capaian internet. Mengapa kita menyusahkan ibubapa, guru-guru dan pelajar sedangkan kita ada pilihan lain yang lebih sesuai dengan persekitaran kita?
Keputusan melaksanakan PdPR secara online sebagai medium utama PdPR jelas satu kegagalan dasar untuk menunaikan salah satu matlamat sistem pendidikan kebangsaan- pendidikan untuk semua.
Sumber: FB Dr Anuar