Tuesday, 13 July 2021

PdPR: Pendekatan sekarang papar 'keletihan' dan 'kepenatan' - Dr Amin Senin

13 Julai - Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin hari ini melontarkan idea berkaitan suasana Pengajaran dan Pemebelajaran di Rumah (PdPR) yang dilihat penuh dengan tekanan dan kepenatan.


Beliau berkata demikian selepas menonton sebuah video Youtube "How to Peel a Banana - The Right and Easy Way. 

"Saya tersentak dan berfikir untuk menganalogikan cara membuka kulit pisang ini dengan pendekatan kita menangani cabaran PdPR," katanya.

Menurut beliau, sejak awal lagi, perhatian dan tumpuan hanya diberikan kepada guru sebagai titik mula melaksanakan PdPR. Ianya satu tindakan logik kerana pengajaran dan pembelajaran murid berngantung kepada inisiatif guru. Oleh sebab itu perbincangan, saranan dan sokongan berkisar dalam kesimpulan tersebut.

"Saya berpendapat, pandangan dan tindakan berdasarkan kesimpulan logik di atas ada rasionalnya jika kita berada dalam suasana normal. Dan semua bersetuju cabaran pandemik ini telah menghantar semua sistem persekolahan ke dalam suasana di luar dari kebiasaan. 

"Oleh itu tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan penyelesaian pasti kaedah menghadapi cabaran tersebut. Setiap negara ber’eksperimen’ menyelesaikan kemelut sistem persekolahan masing-masing. Ini bermaksud kita semua tidak mempunyai pengalaman menghadapi cabaran di luar dari kebiasaaan ini," jelasnya.

Beliau berkata, sehingga kini tumpuan diberi kepada guru sebagai titik mula melaksanakan PdPR tidak menunjukkan tanda-tanda memberangsangkan.

Menurutnya, sistem yang ada sekarang lebih menunjukkan kepada sistem 'kepenatan' dan 'keletihan'. 

Oleh yang demikian, beliau berpendapat ada keperluan mendesak untuk melihat semula perhatian dan tumpuan terhadap guru sebagai titik mula. 

"Mungkinkah ada titik mula lain yang kita terlepas pandang yang lebih berdaya maju dalam menghadapi cabaran ini?" soal beliau.

Beliau mencadangkan supaya melihat kepada pengurusan sistem (termasuk pemimpin dan pengurus sistem) sebagai tumpuan dan titik mula yang baharu.

"Pengurusan sistem yang saya maksudkan ialah pengurusan pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang diterajui oleh Pengetua dan Guru Besar, pengurusan sistem persekolahan di peringkat PPD, JPN dan KPM yang digerakkan oleh pemimpin dan pengurusan tertinggi masing-masing," katanya.

Katanya, dalam keadaan di luar daripada kebiasaan (tanpa ada pengalaman menghadapinya) ada kewajaran  Pengurusan Sistem itu dijadikan titik mula perubahan yang strategi. 

Tumpuan perlu diberikan kepada pendekatan Pengurusan Krisis (yang sering dikaitkan dengan pengalaman masa lalu) dan berganjak kepada Pengurusan Perubahan (yang perlu dikaitakan dengan keperluan masa hadapan).

"Dalam analogi yang lain, kita tidak mampu menghadapi cabaran yang memerlukan pemikiran digital dengan pemikiran analog," kata beliau mengakhiri penulisan yang dilontarkan melalui laman Facebook beliau.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon