Wednesday, 14 July 2021

PdPR dan Pokok Durian

Imej hiasan

Guru Malaysia adalah pelaksana pendidikan yang baik. Kajian universiti Cambridge pada tahun 2018 mengesahkan kecemerlangan dari segi komitmen di kalangan guru-guru Malaysia. https://bit.ly/37dYGUd


Atas nama kecemerlangan komitmen, guru Malaysia tidak pernah menolak pelaksanaan PdPR. Semuanya menerima. Carian saya di media menunjukkan tidak pernah ada kenyataan dari mana-mana guru yang menolak pelaksanaan PdPR. Mereka terima walaupun mereka sedar banyak masalah.


Apa masalahnya?


Analoginya begini. Bila kita nak tebang pokok durian, kita ada beberapa pilihan. Boleh pakai pisau dapur, parang, kapak atau gergaji. Jadi, mula-mula kena buat keputusan untuk pilih kaedah menebang mana paling baik, sesuai, berkesan dan paling mudah mencapai matlamat.


Boleh pakai pisau dapur tebang pokok durian? Boleh tapi penatlah.. Perlu masa dan tenaga yang banyak.


Boleh pakai kapak? Boleh juga. Lebih baik dari pakai pisau dapur. Tapi kena kuatlah tenaga mengapak.


Boleh pakai gergaji? Boleh juga. Lebih cepat dan kerja jadi mudah. Itu lebih baik.


Faham analogi ini dalam konteks PdPR ?


Maksudnya, dalam melaksanakan PdPR, guru-guru tidak pernah menolak tugasan mereka. Itulah yang berlaku sejak setahun setengah yang lalu. Mereka kekal istiqamah bila diarahkan melaksanakan PdPR. Diarahkan PdPR online, mereka lakukan. Jika ada arahan guna PdPR serahan nota mereka juga akan lakukan, bila diarah guna TV Pendidikan mereka juga akan lakukan. Malah jika diarahkan supaya guna radio sekalipun, para guru akan tetap cari jalan untuk lakukan tanggungjawab mereka. Salute cikgu.


Sebab itu, bila KPM keluarkan jadual waktu PdPR 1.0 dan 2.0 yang jelas bersifat PdPR dalam talian (online), guru-guru mengikut sahaja. Susah payah mereka tanggung sendiri. Masalah pelajar tak ada Internet atau peranti, guru-guru sendirilah tanggung tekanannya. 'Sabar', itulah kata hati mereka.


Seperti juga kisah tebang pokok durian tadi. Kalau diarahkan guna pisau dapur, guru-guru tetap laksanakan walaupun dalam keadaan yang susah dan mencabar tenaga dan keupayaan mereka.


Jadi isu PdPR ini ialah isu kebijakan pihak pengurusan membuat keputusan dasar. Ini bukan isu guru. Guru menjadi 'penerima keputusan dasar' dan mereka laksanakan PdPR mengikut aturan dan keputusan pihak atasan.


Jika pihak atas pilih PdPR yang sesuai, mudah dan sesuai dengan tujuan dan persekitaran yang ada, tugasan guru dapat dipermudahkan. Jika pihak atas pilih kaedah yang sukar, tidak menyeluruh dan kurang sambutan murid-murid, guru-guru akan tetap laksanakan.


Sebab itu penting untuk setiap keputusan PdPR oleh pihak atas KPM sentiasa mendahulukan kesejahteraan guru, murid dan ibubapa.


Samalah seperti kisah tebang pokok durian tadi. Kalau diarahkan guna gergaji, maka kerja menebang akan jadi lebih mudah dan menjimatkan masa. Semua orang gembira. Tapi jika diarahkan guna pisau dapur terbang pokok durian, alamatnya menderitalah badan.


Sumber: FB Dr Anuar Ahmad

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon