Melaka: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang bapa yang menafikan dakwaan anak lelakinya cuba menggantung diri akibat tertekan dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, laporan itu dibuat bapa kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu di Balai Polis Bukit Baru di sini, petang tadi.
"Satu laporan polis penafian diterima pihak kami petang tadi daripada seorang lelaki berusia 40 tahun berhubung kenyataan tular di media sosial berhubung gambar anaknya yang ditahan di hospital.
"Hasil keterangan daripada bapa kanak-kanak itu menyatakan, anaknya ditahan di wad kerana terjatuh daripada buaian di hadapan rumah," katanya dihubungi.
Beliau berkata, berdasarkan laporan polis dibuat juga, bapa kanak-kanak itu menafikan anaknya ditahan di wad kerana sakit akibat tekanan PdPR dan ibu bapa seperti yang tular di media sosial.
"Namun dia turut menyatakan gambar anaknya di atas katil di wad diambilnya sendiri sebelum ditularkan," katanya.
Terdahulu, tular di laman Facebook dengan mendakwa kanak-kanak lelaki cuba menggantung diri di sebatang pokok sebelum diselamatkan oleh penghantar makanan yang kebetulan melalui kawasan itu.