17 Julai - Sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos depan sebelum persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat pada 1 September. Keputusan tersebut diumumkan oleh kementerian tersebut di dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berpendapat, pengumuman tersebut tidak membawa apa-apa kesan yang besar pada keadaan semasa murid-murid, guru-guru dan ibubapa.
Beliau berkata, demi kebaikan semua pihak khususnya ibubapa dan murid-murid, sepatutnya adalah lebih baik KPM umumkan PdPR diteruskan sehingga hujung tahun apabila tamat sesi persekolahan untuk tahun 2021.
"Pandangan ini atas beberapa faktor. Pertama, pada minggu lalu, pihak KKM telah maklumkan anak-anak kelas peperiksaan SPM yang di bawah umur 18 tahun ke bawah tidak akan divaksinkan.
"Sedangkan kita tahu kanak-kanak juga terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan varian baru Covid19. Oleh itu, pembukaan sekolah tidak sepatutnya dilakukan atau diumumkan sehingga KPM telah mempunyai SOP yang jelas dan berkesan bagaimana untuk uruskan kumpulan murid-murid yang kategori non-vaksin. Jumlah murid-murid terlibat keseluruhan hampir mencecah 5 juta di seluruh negara," jelasnya.
Beliau berkata, setiap murid mempunyai keluarga. Menurutnya ini menjadi faktor kedua untuk KPM membuat keputusan yang lebih tepat.
"Bagaimana KPM boleh memberi jaminan bahawa murid-murid yang akan ke sekolah tidak berisiko menjadi pembawa 'carrier' virus Covid19 ke dalam keluarga mereka?
"Bolehkah tanpa jaminan keselamatan, sekolah -sekolah dibuka semula?
"Ketiga, amalan PdPR sepanjang 15 bulan lalu didapati telah diamalkan dengan berbagai penambahbaikan dari guru-guru. Walaupun masih ada kekurangan, prestasi keputusan SPM 2020 yang terbaik dalam tempoh lima tahun lepas telah membuktikan tiada keperluan bagi KPM secara tergesa-gesa untuk membuka sekolah pada bulan September 2021.
"Keempat, jika ada ibubapa yang masih tidak bersedia membenarkan anak-anak mereka ke sekolah semula pada bulan September nanti atas sebab bimbangkan keselamatan nyawa, adakah PdPR akan diteruskan serentak semasa sesi persekolahan berjalan?
"Adakah guru-guru perlu melakukan dua beban pengajaran (di dalam kelas dan juga PdPR). Adakah adil pada murid-murid yang tidak hadir ke sekolah atas alasan keselamatan nyawa, jika PdPR tidak lagi dilaksanakan selepas sekolah mula dibuka semula?
"Sehubungan dengan itu, sepatutnya KPM boleh membuat keputusan yang lebih baik dengan mengumumkan meneruskan PdPR sehingga hujung tahun 2021 kerana itu lebih praktikal, teratur dan sesuai. Sebarang tindakan haruslah mendahulukan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid19. Tidak boleh sebaliknya," jelasnya lagi.