Tuesday, 15 June 2021

Tujuh faktor penyertaan murid kurang ketika 'online class' dan cadangan penyelesaiannya

Melaksanakan pembelajaran secara 'real time' bersama murid adalah cabaran utama guru sewaktu tempoh PdPR ini. Pelbagai isu dan masalah timbul dengan pendekatan yang digunakan. 


Antara cabaran utama yang sering dihadapi oleh guru termasuklah isu penyertaan murid. 


Cikgu Ashutz Amoz dalam satu hantaran Facebooknya telah menyenaraikan tujuh faktor yang menyebabkan penyertaan murid dalam sesi tidak memberansangkan:

1. Murid tidak faham soalan/tidak tahu untuk menjawab. 

2. Murid tidak yakin /malu/takut salah. 

3. Murid bosan/malas. 

4. Murid tiada di hadapan skrin (pergi ke tandas/dapur dan sebagainya) 

5. Murid sedang melakukan aktiviti lain contoh : tengah makan/tengok anime/drama korea/bermain 'game' dan lain-lain. 

6. Masalah capaian internet. (masa cikgu panggil nama, masa tu terputus-putus 'line') 

7. Murid tertidur 


Cikgu Ashutz Amoz juga berkongsi bagaimana tujuh perkara di atas dapat dikurangkan kesannya terhadap pengajaran dan pembelajaran secara real time oleh murid.


Berikut merupakan tips sebagai panduan dan boleh diubah mengikut kesesuaian. 


Tips ini bukanlah 100% akan berkesan tetapi kaedah cuba jaya yang boleh digunapakai oleh guru-guru sebagai satu usaha untuk mengatasi masalah tadi. 


1. Permulaan kelas 

  • Mulakan dengan suasana yang tenang atau ceria. Mengalu-alukan kehadiran murid ke kelas anda. Beri kata-kata positif yang boleh mendatangkan 'mood' semangat untuk mereka belajar. Boleh juga tayangkan video ringkas/poster kata-kata hikmah sebagai set induksi. Berdoa. Atau jika ingin lebih kreatif lagi, nak berpantun pun boleh! Penting untuk kita set kan minda mereka bahawa kelas cikgu menyeronokkan. 
  • Maklumkan peraturan ringkas. Tujuannya agar sepanjang sesi pembelajaran tingkah laku murid terkawal. Contoh : beritahu murid-murid sila fokus jangan kemana-mana, gunakan ruangan 'chat' untuk berbincang perkara berkaitan, jawab soalan apabila cikgu tanya ya. Supaya cikgu tahu awak semua bersama dengan cikgu. Boleh jawab dengan 'on' kan 'mic' atau taip di ruangan 'chat'. Kita beri pilihan kepada anak murid. (anak murid yang tidak yakin atau malu mereka selalunya tidak akan 'on' 'camera' atau 'mic'). 
  • Nak menarik lagi, buat lah poster peraturan kelas cikgu. Setiap kali kelas, boleh tayangkan dahulu. 

2. Semasa sesi pembelajaran 
  • Gaya dan kaedah penyampaian perlu pelbagai. Penggunaan nada suara, laras bahasa, unsur kecindan dan contoh yang diberi mesti berada diruang lingkup pemahaman murid. Jika secara bersemuka pun cikgu perlu berusaha keras untuk memberi kefahaman kepada murid, apatah lagi secara dalam talian. Beri klu kepada murid untuk menjawab. Usaha untuk menjadi lebih kreatif dalam penyampaian. Boleh belajar dengan melihat cara 'influencer', motivator atau guru-guru lain yang bagus penyampaiannya. Letakkan diri kita sebagai murid sejenak. Kita suka cikgu mengajar macam mana? Nak bagus lagi, kita tanya murid, buat borang 'survey'. 
  • Aktiviti selingan semasa proses pengajaran. Sebagai contoh, selepas cikgu menerangkan satu topik, berhenti seketika dan lakukan aktiviti kecergasan. Sebagai contoh, aktiviti tepuk-tepuk, senaman otak dan lain-lain lagi. Boleh juga main teka-teki, teka gambar, buat magik dan sebagainya. Pilih aktiviti yang mudah, santai dan menarik. 
  • Beri penghargaan kepada murid dan peneguhan positif. Ucapkan terima kasih, terbaik, tahniah, atau anda hebat. Saya puji semangat awak. Jadikan aktiviti pembelajaran menyeronokkan. 'Happening'. Ajak kawan-kawan lain juga beri sokongan. Boleh beri tepukan di hadapan skrin atau minta murid masukkan emoji 'good', 'love' dan sebagainya tanda sokongan dan galakan kepada kawan-kawan yang menjawab soalan. Sebutkan nama-nama murid cikgu. Jika ada bajet lebih, buatlah kejutan kepada mereka yang aktif atau selalu beri kerjasama dengan memberi hadiah kepada mereka. Dapatkan alamat, no. telefon dan tempahlah di kedai ‘online’ (surprise bouquet/kek/barang di shopee/Lazada). 


3. Akhir sesi pembelajaran

  • Buat rumusan dan jangan lupa beri galakan kepada murid agar terus hadiri kelas PdPR cikgu. Buat kerja sekolah, sekiranya tak faham boleh tanya. 
  • Gunakanlah kemahiran memujuk cikgu-cikgu. Katakan yang anda seronok mengajar mereka hari ini. Puji, semua baik-baik, boleh ikut arahan, boleh siapkan kerja sekolah dan sebagainya. 
  • Kita tanamkan sekali lagi perkara yang baik-baik dalam pemikiran mereka. Dan paling penting, kata-kata cikgu yang baik-baik dan berulang itu adalah doa! 

Sesetengah murid yang tidak aktif (hanya mendiamkan diri) setiap kali PdPR ‘online’ mereka mungkin perlukan bantuan. Guru boleh kenalpasti masalah murid dengan berhubung secara personal atau rujuk kepada kaunselor sekolah.


Sumber: Ashutz Amor

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon