PUTRAJAYA - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan hari ini mendakwa bahawa Kementerian Pendidian Malaysia (KPM) telah gagal menguruskan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada tahun ini melalui satu kenyataan media yang dimuat naik oleh pengerusinya, YB Dr Maszlee Malik di laman Facebook beliau.
Perkara tersebut kemudiaanya telah dijelaskan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dato Dr Radzi Mat Jidin ketika sidang media khas pada awal pagi tadi.
Radzi berkata, pelaksanaan peperiksaan utama negara itu sebenarnya lebih mencerminkan kejayaan kepada kementerian tersebut. Ini adalah kerana, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
"Pelaksanaan SPM pada tahun 2021 adalah sangat mencabar, dan tidak ada sesiapa pun di antara kita yang pernah berhadapan dengan situasi ini sejak negara merdeka.
"Dalam konteks ini, pelaksanaan SPM pada tahun ini memerlukan satu penilitian yang cukup mendalam," katanya.
Walaupun beberapa kali bertukar tarikh pelaksanaan, Radzi berkata ianya tetap berjalan lancar seperti mana yang telah dirancang.
"Kita telah mengeluarkan satu SOP yang cukup lengkap dan komprehensif memastikan keselamatan calon, guru dan juga petugas peperiksaan," katanya lagi.
Beliau turut menambah, kaedah pemarkahan SPM 2020 juga ditambah baik. Jika sebelum ini guru-guru akan berkumpul di satu lokasi untuk menanda kertas jawapan, kini mereka hanya perlu menanda kertas jawapan tersebut secara dalam talian dan ini adalah pertama kali ianya dilakukan di dalam negara ini.
"Tempoh keluar keputusan SPM juga lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya ketika negara belum dilanda pandemik COVID-19.
"Buat pertama kali juga di dalam sejarah negara, SPM diadakan sebanyak dua kali, iaitu pelaksanaan pada tarikh yang telah ditetapkan di dalam takwim, dan yang kedua pula untuk calon-calon yang dikuarantin akibat pandemik ketika tarikh awal peperiksaan berkenaan ditetapkan," jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, keputusan SPM pada tahun ini juga akan dapat disemak sepenuhnya secara dalam talian.
"Jika sebelum ini sijil SPM dicetak selepas 5 hingga 6 bulan keputusan dikeluarkan, tetapi kali ini ianya hanya mengambil masa sebulan untuk dikeluarkan," tambahnya lagi.
Justeru itu, beliau lebih melihat kepada kejayaan dan penambahbaikkan yang telah dan akan berlaku daripada kekurangan yang sering didakwa oleh pihak pembangkang.