SAYA merujuk kenyataan oleh Ketua Pasukan Khas Pendidikan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkaitan cadangan penggantungan sekolah oleh beliau bagi pelajar yang tidak hadir tiga hari pengajaran dan pembelaran di rumah (PdPR) berturut-turut.
Sebagai pengkaji pendidikan, saya tidak bersetuju dengan cadangan beliau dan melihat cadangan tersebut sebagai tidak sensitif kepada keadaan semasa kesukaran murid-murid yang sedang melalui pengalaman PdPR.
Saya mempunyai pandangan yang berbeza bahawa tidak semua masalah murid-murid boleh diselesaikan dengan cara menghukum.
Malah dalam situasi sukar pandemik COVID-19 sekarang hukuman pada murid-murid sekolah hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah.
Mengapa hanya kerana murid-murid tidak hadir PdPR, kita sampai mahu menghukum gantung sekolah pada murid-murid? Budaya pendidikan apa yang beliau cuba terapkan?
Sepatutnya kita dekati murid-murid ini dan keluarga mereka dan cuba memahami dulu apa isu di sebalik kegagalan mereka hadir PdPR.
Malah, saya berpandangan apa juga alasan pun anak-anak tidak hadir PdPR, tak perlulah sampai murid-murid ini perlu melalui pengalaman buruk digantung sekolah.
Amalan gantung sekolah ini sebenarnya adalah pemikiran yang diwarisi dari pegawai pendidikan penjajah Inggeris dulu di Malaya. Pegawai pendidikan Inggeris di Malaya dulu memang gemar amalkan budaya gantung sekolah.
Mengapa? Sebab yang dihukum gantung sekolah tu bukan anak bangsa mereka. Itu anak-anak masyarakat yang dijajah.
Apa-apa yang menyusahkan mereka maka kaedahnya keluarkan sahaja murid-murid dari sistem sekolah. Dihukum gantung sekolah.
Kita sudah hampir 64 tahun merdeka. Semua yang sedang belajar di sekolah adalah anak-anak bangsa kita. Baik buruk mereka tetap anak-anak kita. Mereka perlu difahami dan dibantu.
Pengurusan pendidikan sudah banyak berubah. Sekarang ada ilmu kaunseling dan guru-guru juga dilatih supaya mesra pelajar. Pendekatan sekarang ialah membantu dan menyokong murid-murid bukannya menghukum.
Negara kita bercita-cita untuk sediakan pendidikan berkualiti untuk semua murid-murid. Pendidikan bukan untuk murid kaya dan yang mampu sahaja. Bukan juga untuk murid yang pandai akademik sahaja.
Pendidikan untuk semua. Tugas kitalah untuk memandaikan semua anak-anak bangsa kita. Bukan mengeluarkan mereka dari sistem persekolahan.
Kalau masih mahu hukuman gantung sekolah pada murid-murid memang boleh, tetapi alasannya mestilah jelas. Misalnya untuk menjaga keselamatan guru-guru atau murid-murid lain.
Bimbang kalau murid-murid yang bermasalah hadir ke sekolah akan mengancam keselamatan orang lain. Jadi memang sesuai ada larangan untuk berada dalam kawasan sekolah.
Murid-murid tidak hadir PdPR ada tiga sebab utama. Kalau kita boleh bantu selesaikan tiga sebab tersebut, maka akan penuhlah kehadiran murid-murid dalam PdPR setiap hari.
Pertama, murid-murid tak ada peranti dan internet sebab mereka miskin. Jadi solusinya, usahakanlah untuk dapatkan peranti dan data internet untuk murid-murid miskin ini terus belajar. Ada peranti rajinlah mereka hadir PdPR.
Kedua, murid-murid selepas setahun setengah PdPR, mereka dah semakin bosan dengan kaedah PdPR yang sama setiap hari. Ramai guru yang kreatif tapi ada juga guru yang tak kreatif.
Bila dah bosan, mereka pun tak hadir PdPR. Bayangkan kita sendiri kena hadap PdPR yang sama setiap hari selama setahun, mestilah rasa bosan dan terfikir nak ponteng juga.
Apa lagi ini anak-anak kecil. Tahap ingin tahu mereka sangat tinggi. Rutin PdPR yang sama setiap hari akan mengurangkan motivasi pembelajaran mereka.
Ketiga, peranan ibu bapa. Sebab anak-anak di rumah 24 jam, ada ibu bapa yang akan sentiasa minta tolong anak-anak buat macam-macam kerja. Anak-anak akan diminta tolong oleh ibubapa di dapur, jaga adik, bersihkan kebun dan macam-macam lagi.
Kalau ibubapa pun tak kisah anak-anak hadir PdPR ke tidak, mengapa pula ada cadangan supaya anak-anak dihukum gantung sekolah?
Dalam persekitaran pandemik COVID-19 yang nampaknya belum berkurangan, semua pihak sepatutnya lebih positif dalam memberikan sokongan dan dorongan untuk meningkatkan motivasi guru dan pelajar.
Dr Anuar ialah Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).